suria

Anuar Terus Beri Saingan, Masih Menaruh Harapan Untuk Kemenangan Berperingkat

TANAH MERAH: Jaguh pecut berbasikal lebuh raya negara, Anuar Manan masih tidak berputus asa untuk mencari kemenangan peringkat pada edisi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kali ini.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berkata beliau akan terus mencuba dan berusaha dalam baki dua peringkat perlumbaan.

"Untuk hari ini, saya tidak sasar untuk kutip mata di zon pecutan tetapi cuba untuk raih kemenangan peringkat. Esok dan lusa adalah peluang terakhir saya untuk terus mencuba.

"Selepas perlumbaan hari ini saya perlu memulihkan kecergasan saya untuk baki dua peringkat lagi," kata pelumba berusia 27 tahun dan mewakili pasukan Synergy-Baku Cycling Project yang berpangkalan di Azerbaijan.

Pada peringkat kelapan dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah sejauh 164.50km itu, Anuar berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 10 pelumba terbaik yang tiba di garisan penamat.

Peringkat kelapan dimenangi pelumba muda dari Perancis, Bryan Coquard daripada pasukan Europcar.

Ia adalah kali keempat Anuar menamatkan saingan edisi LTdL 2013 selepas peringkat pertama (tempat ketujuh), keempat (ke-8) dan keenam (ke-10).

"Seperti biasa pelumba-pelumba banyak membuat henjutan yang laju. Saya rasa peringkat hari ini (kelapan) adalah yang paling laju...kira-kira 50 kilometer sebelum penamat semua pelumba sudah mula meningkatkan kelajuan kayuhan mereka," katanya.

Sementara itu, Mohamed Adiq Hussainie Othman, yang mewakili pasukan Champion System, kekal sebagai pelumba terbaik Malaysia keseluruhan dengan mengumpul 29'44:01s selepas lapan peringkat perlumbaan.

Pelumba berusia 21 tahun itu setakat ini berada di tempat ke-29 keseluruhan, 12 minit dan sembilan saat di belakang pemegang jersi kuning, Julian David Arredondo Moreno daripada Team Nippo-De Rosa.

"Saya pun tidak perasan mengenai kedudukan itu. Tugas saya dalam pasukan adalah sebagai pelumba domestik...sebenarnya saya tidak kisah dengan kedudukan itu. Kalau dapat (pelumba terbaik Malaysia keseluruhan) itu, dapatlah," katanya merendah diri. - BERNAMA

Artikel Lain