suria

Pelantikan Ahmad Shapawi Mampu Bawa Perubahan Pada ISN - Zolkples

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yakin pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) yang baharu, Ahmad Shapawi Ismail mampu membawa perubahan dalam organisasi itu.

Sambil mengalukan pelantikan itu, Zolkples berkata Ahmad Shapawi yang mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan atlet, berupaya menjalankan tugas diamanahkan kepada beliau.

"Beliau pernah bekerja di bawah saya sebagai Pengarah Bahagian Atlet, jadi saya yakin dengan kebolehan serta pengalaman beliau dalam menguruskan hal-hal melibatkan atlet.

"Bidang ini mungkin suatu benda baharu kepada beliau kerana ia melibatkan penyelidikan, perubatan dan sains sukan...namun saya yakin MSN dan ISN boleh bekerjasama sebagai satu pasukan mantap dalam memastikan proses pembangunan atlet berjalan lancar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama atlet paralimpik yang akan menggalas cabaran negara di Sukan Paralimpik London, di sini, malam Khamis.

Seramai 23 atlet paralimpik Malaysia bakal beraksi di London dari 29 Ogos hingga 9 Sept, melibatkan seorang atlet lawan pedang, memanah (3), olahraga (8), berbasikal (2), powerlifiting (3), pelayaran (2), renang (2) dan ping pong (2).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini mengumumkan Ahmad Shapawi sebagai CEO ISN yang baharu menggantikan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. Pelantikan Ahmad Shapawi itu adalah selama setahun berkuat kuasa Khamis.

Ahmad Shabery juga mengumumkan Dr Ramlan dilantik sebagai penasihat khas kepada Menteri Belia dan Sukan bagi memberi tumpuan kepada pembangunan sukan negara dan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

ISN yang ditubuhkan pada 1992 memberi fokus kepada penyelidikan, perubatan dan sains sukan di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain