suria

PDRM Duduki Tangga Ketiga Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ketiga Liga Perdana selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Harimau Muda B di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Isnin.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan R.Nalathamby terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-13 selepas pemain Harimau Muda B Mohd Norhamizaref Hamid menjaringkan gol pendahuluan.

Tersentak dengan jaringan itu, PDRM kembali menyusun strategi dan hasilnya, mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Khairul Izuan Abdullah pada minit ke-47 setelah berlaku keadaan kelam kabut di depan pintu gol Harimau Muda B.

Khairol Abdul Latif kemudian menambah gol kedua untuk PDRM pada minit ke-54 selepas sepakan kencang beliau terkena pemain lawan sebelum menerjah jaring gol.

Khairul Izuan menambah derita pasukan bimbingan Ismail Ibrahim dengan menjaringkan gol ketiga PDRM tiga minit kemudian selepas menerima hantaran rakan sepasukan untuk menewaskan Muhamad Ilham Amirullah Razali di gawang Harimau Muda B.

Khairul Izuan sekali lagi mencatat nama selepas menjaringkan gol keempat pada minit ke-77 untuk mengesahkan kemenangan mutlak PDRM.

Terdahulu, pada sebelah petang, Perlis mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas kelab dari Johor, MBJB FC, pada pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.

Skuad Singa Utara memulakan pesta gol pada minit ke-20 menerusi pemain import Mohamed Lamin Conteh dari Sierra Leon sebelum Shafuan Adli Shaari menggandakan jaringan pada minit ke-38.

Rakan senegara Mohamed Lamin iaitu Henry Lewis kemudian menambah derita anak buah Mohamad Khairudin Abdul Rahman dengan meledakkan tiga gol pada minit ke-47,61 dan 64.

Pemain pertahanan MBJB FC dari Bosnia, Dalibor Dragic, mengurangkan defisit dengan menjaringkan gol pada minit ke-80 sebelum Muhamad Khairul Anas melengkapkan hari gemilang Singa Utara dengan gol keenam dua minit kemudian.

Kemenangan itu membolehkan Perlis naik satu anak tangga di kedudukan ke-10 liga dan mengumpul enam mata selepas mengharungi sembilan perlawanan. - BERNAMA

Artikel Lain