suria

Annuar Musa Belum Terima Surat Tunjuk Sebab Dari FAM

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata beliau belum menerima surat tunjuk sebab daripada badan induk bola sepak negara itu berhubung tindakannya yang dikatakan mengkritik prestasi skuad kebangsaan menerusi media baru-baru ini.

"Saya masih belum menerima surat dari FAM. Saya akan masuk pejabat Jumaat ini selepas pulang dari Myanmar nanti," katanya menerusi laman sosial Facebook.

Beliau yang juga timbalan pengerusi pasukan kebangsaan berkata beliau akan meneliti isi kandungan surat itu sebaik menerimanya dan akan membuat pertimbangan sama ada perlu melantik peguam bagi membela diri.

FAM sebelum ini menuntut Annuar supaya memberi maklum balas terhadap kritikannya sebelum Jumaat ini dan Jawatankuasa Disiplin FAM akan menilai maklum balas itu sebelum beliau dipanggil berdepan jawatankuasa tersebut pada 29 Mac ini.

Annuar didakwa telah melanggar peraturan FAM setelah menyatakan keraguannya terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012 pada hujung tahun ini berikutan prestasi hambar skuad kebangsaan dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.

Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh FAM, hanya Presiden yang mempunyai kuasa memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Sebelum ini, beberapa individu yang pernah memegang jawatan naib presiden FAM berdepan dengan tindakan disiplin selepas membuat kritikan terhadap FAM.

Mereka termasuklah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (digantung tiga tahun pada 1991) dan Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil yang digantung pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) atas kesalahan sama. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain