suria

Rajagobal Harap Aksi Terbaik Pemain

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad kebangsaan, K.Rajagobal berkata perlawanan menentang Chelsea pada 21 Julai ini adalah pengalaman terbaik buat anak buahnya beraksi bersama pasukan bertaraf antarabangsa ini.

“Saya mahu mereka turun bertemu Chelsea dan menikmati perlawanan itu sebaiknya. Perkara sama yang kami lakukan ketika menentang Manchester United pada 2009.

"Bagaimanapun kami akan berbincang sama ada ingin menurunkan pemain yang sama dalam ketiga-tiga perlawanan termasuk bertemu Arsenal dan Liverpool.

“Memang tidak dinafikan pasukan lawan dibarisi pemain yang pernah mewakili negara masing-masing di peringkat tertinggi, tetapi saya berharap mereka bermain seperti biasa dan tidak melihat kepada keputusan perlawanan,” katanya pada Majlis Pelancaran Tiket Jelajah Chelsea ke Asia dan Ulang Tahun Ke-10 Pro Events.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam menjangkakan jumlah penonton akan meningkat pada perlawanan itu di mana pada 2008 ketika aksi di Stadium Shah Alam, seramai 55,000 penonton membanjiri stadium menyaksikan perlawanan ini.

“Kami menjangkakan jumlah penonton akan meningkat pada tahun ini terutama dari negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura,” katanya.

Tiket bagi perlawanan Malaysia-Chelsea akan mula dijual pada 30 Mei ini dengan harga RM58, RM68 dan RM108, manakala tiket VIP yang bernilai RM388 terhad kepada orang ramai di cawangan Adidas yang dipilih dan cawangan Ticketpro di seluruh negara atau telefon hotline Ticketpro 03-78807999 atau tempah melalui laman web www.ticketpro.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain