suria

Robani Gigih Pulih Kecederaan

Kondisi kecederaan Robani akan menentukan penampilannya di Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang dan Terbuka Taiwan, bulan depan. Foto: THE STAR - SAMUEL ONG
Kondisi kecederaan Robani akan menentukan penampilannya di Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang dan Terbuka Taiwan, bulan depan. Foto: THE STAR - SAMUEL ONG
Kondisi kecederaan Robani akan menentukan penampilannya di Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang dan Terbuka Taiwan, bulan depan. Foto: THE STAR - SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Meskipun baru saja dibelenggu masalah kecederaan, atlet 110 meter lari berpagar negara, Mohd Robani Hassan kini berusaha keras untuk memulihkan kecederaan yang dialaminya sebelum Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang dan Terbuka Taiwan membuka tirainya bulan depan.

Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, kesan kesakitan di bahagian tulang kakinya sudah mula dirasai sebaik pulang dari Kejohanan Olahraga Tertutup Asia di Iran pada Februari lalu.

Namun, keadaan menjadi lebih teruk apabila kecederaan itu menghantui dirinya ketika menjalani sesi latihan bersama skuad olahraga negara di Padang Trek, Masjlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penampilannya dalam kedua-dua kejohanan penting itu akan bergantung kepada tahap kecergasan dan kondisi kecederaannya kelak.

Kegagalan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Beijing dua tahun lalu tidak melemahkan semangat Olahragawan Terbaik Majlis Sukan Universiti Malaysia (2008) untuk memenuhi sasarannya pada Sukan Komanwel di New Delhi, India pada Oktober ini.

"Selepas gagal melepasi had kelayakan ke Olimpik, tumpuan saya kini beralih kepada Sukan Komanwel tahun ini. Sudah semestinya saya menyimpan cita-cita tinggi untuk cuba mendapat sebarang pingat dan mengatasi rekod kebangsaan," katanya.

Kini, atlet berusia 27 tahun itu bekerja sebagai Eksekutif Promosi Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di cawangan Kuala Lumpur.

Walaupun sudah bekerja sejak setahun yang lalu, Robani tetap menjalani latihan seperti biasa di bawah khidmat jurulatih kebangsaan, Ithnin Mahadi.

"Saya berterima kasih kepada Naib Canselor Unimap atas segala sokongan dan kelonggaran yang diberikan kepada saya untuk terus menjalani latihan bersama skuad olahraga elit negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain