suria

Hafiz Kecundang Di Tangan Pemain Thailand

NEW DELHI: Harapan Malaysia yang disandar ke bahu pemain badminton perseorangan lelaki Muhammad Hafiz Hashim untuk mara ke perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Asia Yonex-Sunrise hancur selepas pemain itu tumpas dalam saingan peringkat suku akhir hari ini.

Hafiz kelihatan tidak mempamerkan permainan yang baik apabila tumpas di tangan pemain Thailand Boonsak Ponsana, tanpa banyak tentangan.

Ponsana, pemain berusia 28 tahun, merebut peluang daripada kecuaian Hafiz yang membuat banyak kesilapan, untuk memenangi set pertama dengan 21-9.

Pada set kedua, Hafiz mengejar Ponsana sehingga kepada kedudukan mata 12-12, sebelum memenangi set itu dengan 21-17, namun set ketiga menyaksikan Hafiz terus menderita apabila dengan mudah beliau ditumbangkan dengan 21-10.

"Saya benar-benar tidak tahu apa yang berlaku, saya rasa amat letih dan sakit belakang. Saya buat banyak kesilapan dan kebanyakan pukulan saya terus keluar gelanggang, jarang-jarang sekali saya menyerang," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan.

Dengan keputusan itu, Posana dijangka akan berhadapan dengan pemain China Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir esok.

Ditanya mengenai peluangnya Posana berkata, mungkin sukar baginya untuk menundukkan Lin Dan kerana pemain dari China itu memilik banyak kelebihan seperti kepantasan, stamina, dan kawalan gelanggang yang baik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain