suria

Selangor Hantar Atlet Sukma Sertai Kem Misi Juara 2010

KUALA LUMPUR: Juara Sukan Malaysia (Sukma) tujuh kali, Selangor menghantar seramai 515 atlet dan pegawainya untuk menjalani Kem Berskala "Misi Juara 2010" di Genting Highlands dalam usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi Sukma ke-13 di Melaka pada Jun depan.

Kem motivasi selama lima hari itu bermula semalam di Genting View Resort.

Ketua Unit Sains dan Sukan Bahagian Pembangunan Majlis Sukan Negeri Selangor Harlisa Rozikin berkata, kem itu bertujuan untuk meningkatkan tahap motivasi atlet sebelum menghadapi Sukma kali ini.

"Sebelum menghadapi Sukma, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) mahu setiap atlet mengenali rakan pasukan masing-masing. Selain daripada itu, kem ini juga bertujuan untuk memupuk semangat berpasukan sesama atlet dan jurulatih," katanya kepada Bernama, hari ini.

Kem itu dibahagikan kepada empat sesi mengikut kumpulan yang ditetapkan berdasarkan acara sukan bagi memudahkan pemantauan penyelia kursus.

"Kita bahagikan mereka dalam kumpulan-kumpulan yang lebih kecil supaya mudah untuk kita mendekati mereka untuk mencapai matlamat yang diharapkan," katanya.

Menurut Harlisa sesi pertama (16-17 April) melibatkan seramai 129 atlet daripada acara angkat berat, badminton, boling padang, kabaddi, menembak, petanque, tenpin boling, ragbi dan tinju.

Sesi kedua dari 17-18 April melibatkan 127 atlet daripada acara gimnastik artistik, lumba basikal, olahraga, perahu layar, akuatik (renang dan terjun), bola keranjang dan golf.

Bagi sesi ketiga pula (18-19 April) melibatkan atlet daripada acara kanu, karate-do, lawan pedang, pencak silat dan silambam yang berjumlah seramai 105 orang.

Sementara itu, sesi keempat seramai 154 orang atlet daripada acara bola jaring, bola sepak, bola tampar (dewan dan pantai), hoki (lelaki dan wanita), memanah, ping pong, sepak takraw lelaki dan skuasy.

Selangor adalah juara Sukma sebanyak enam kali berturut-turut sejak 1996.

Bagaimanapun pada edisi ke-12 Sukma di Terengganu pada 2008, Selangor muncul sebagai naib juara dengan mengumpul 54 pingat emas, 47 perak dan 52 gangsa, di belakang Terengganu yang memperoleh 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Pada tahun ini, Selangor menyimpan hasrat untuk meraih kejayaan buat kali ketujuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain