suria

Filem ‘Oppa’ adaptasi kisah benar, angkat kesedaran tentang jenayah ‘love scam’

Filem Oppa memaparkan jenayah love scam yang sering berlaku dalam masyarakat.

PENIPUAN siber yang berlaku dalam kalangan masyarakat membuatkan pengarah Captain Denil terpanggil untuk menghasilkan filem berjudul Oppa.

Menurut Denil, Oppa adalah sebuah filem tentang jenayah 'love scam' yang sering berlaku dalam segelintir masyarakat pada hari ini.

"Saya berasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Mungkin kurangnya kesedaran menjadi faktor utama apabila masih ramai yang menjadi mangsa.

"Jadi, ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan filem Oppa ini, sekurang-kurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem," katanya.

oppa2 - 1

Filem Oppa mahu memberi kesedaran kepada masyarakat tentang jenayah scam cinta.

Dalam pada itu, Denil berkata filem arahanya itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Kata Denil, jalan cerita yang dipaparkan dalam filem ini adalah adaptasi kisah sebenar yang pernah berlaku berdasarkan laporan kepada pihak polis.

"Untuk menghasilkan filem Oppa kami telah mendapat kerjasama daripada PDRM dan menariknya terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang turut terlibat menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini.

“Malah, seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan beliau banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis agar kerja-kerja penggambaran dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Geng Kubur' jentik memori lalu, kisah 4 sahabat main psikologi penonton

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar hiburan kosong, 'Harimau Malaya: The Untold Journey' mampu pupuk jati diri penonton

Oppa memaparkan kisah seorang guru yang bercinta dengan lelaki Korea tetapi mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya itu tiba-tiba menghilangkan diri.

Lebih malang lagi, guru tersebut turut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka semata-mata untuk diberikan kepada kekasihnya itu.

Filem Oppa menampilkan Theo Jang, aktor yang berasal dari Korea Selatan serta barisan pelakon tempatan lain seperti Jacqueline Goh Wan Yi, Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi.

OPPA Love Scam akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 9 Mei 2024.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain