suria

‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’ sentuhan terakhir Pitt Hanif, angkat kisah agensi Maritim Malaysia 

Coast Guard Malaysia: Ops Helang sentuhan terakhir Pitt Hanif.

MENGETENGAHKAN Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjaga keselamatan perairan negara, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang adalah sebuah karya sentuhan akhir Allahyarham Pitt Hanif yang sarat dengan aksi mendebarkan selain menyentuh emosi penonton.

Penerbitnya, Muhammad Hady Yusry Makmor berkata, filem berkenaan pada awalnya diarahkan bersama oleh Hashim Rejab namun pengarah tersebut terpaksa menarik diri sementara arwah Pitt mengambil alih mengarahkannya sehingga penggambaran selesai.

“Penggambaran filem mengambil masa selama 55 hari, membabitkan lokasi penggambaran sebanyak 65 peratus di kawasan laut dan pulau di sekitar Pulau Langkawi, Kedah. Selebihnya di Kuantan dan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang.

“Penggambaran berlangsung pada 3 Ogos dan berakhir pada 24 Oktober 2019.

“Sehari selepas penggambaran selesai, arwah Pitt pula meninggal dunia. Rozita dan Arie terpaksa menyambung kerja penggambaran lagi dua peratus di lokasi darat pula,” katanya.

gdfgdf

Antara barisan pelakon yang terlibat adalah Saharul Ridzwan dan Fizz Fairuz.

Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia itu menampilkan gandingan hebat dua aktor dan aktres popular tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Dalam pada itu, Muhammad Hady berkata, perancangan menerbitkan filem yang membabitkan kos sebanyak RM13 juta itu bermula sekitar 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Dain Said terkejut lihat aksi pelakon muda, rupanya ramai berbakat... Sengaja bawa kelainan dalam filem ‘Harum Malam’

ARTIKEL BERKAITAN: Gandingan Beto, Diana Danielle hidupkan ‘Imaginur’... filem unik angkat kisah percintaan dunia hipnosis

“Saya bersama Penerbit Eksekutif, Flying Deals Sdn Bhd, Rozita Mat Isa dan Jason Chong selaku penulis skrip mengemukakan kertas idea kepada Maritim Malaysia untuk menerbitkan filem. Kemudiannya, skrip dihasilkan dengan bantuan dan nasihat Maritim Malaysia melalui beberapa siri perbincangan dan penambahbaikan.

“Selepas mendapat kelulusan dan mendapat dana untuk projek filem kenegaraan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), kami mula mencari rakan penerbit untuk memulakan penggambaran.

“Akhirnya, kami bertemu dengan penerbit, Arie Zaharie dari Arie Zaharie Production yang berminat untuk bekerjasama menerbitkan filem ini,” katanya.

Mengulas penggambaran filem, kata Muhammad Hady Yusry, lebih seratus barisan pelakon dan kru termasuk pegawai khas dari Maritim Malaysia terbabit dalam penggambaran filem ini.

ssfbx

Mohammad Hardy (kiri) memberitahu filem ini mengambil masa 55 hari untuk disiapkan.

Barisan pelakon seperti Saharul Ridzwan dan Julia Farhana juga menjalani sesi latihan ketat di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) selama sebulan membabitkan aspek protokol, penggunaan senjata api, perlawanan dan sebagainya lagi.

“Naskhah ini membabitkan kos tinggi kerana penggunaan aset ketenteraan iaitu tiga kapal besar, empat helikopter, 10 bot laju dan kelengkapan senjata api dan ‘machine gun’.

“Bagi menghidupkan babak, kami membina perkampungan lanun yang terpaksa diletupkan pada penghujung cerita dengan membabitkan kos RM400,000.

Mengenai cabaran menghasilkan filem, kata Muhammad Hady Yusry, pihaknya berdepan dengan keadaan cuaca yang buruk termasuk ribut taufan yang melanda sepanjang penggambaran di Pulau Langkawi.

“Sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang pemasaran dan penerbitan filem, penggambaran filem Coast Guard adalah paling mencabar. Barisan pelakon dan kru terpaksa berkampung selama tiga bulan dalam kapal besar yang berlabuh di tengah laut untuk penggambaran filem.

pix2

Salah satu babak dalam Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

“Kami juga perlu melihat jadual penggunaan aset ketenteraan Maritim Malaysia dengan keadaan cuaca, selain aset sedia ada perlu digunakan dalam operasi Maritim," katanya.

Tidak ketinggalan, Muhammad Hady Yusry berkata, barisan pelakon utama turut berdepan detik mencemaskan ketika penggambaran babak aksi filem itu.

“Saharul berdepan detik mencemaskan dan hampir lemas di tengah laut ketika menunggu diselamatkan helikopter. Julia juga hampir lemas kerana topeng selam tercabut ketika menjayakan sesi latihan dalam air di AMSAS.

“Mujurlah pasukan penyelamat cekap bertindak bagi membantu menyelamatkan mereka,” katanya.

Ditanya sasaran kutipan filem, kata Muhammad Hady Yusry, hasil tinjauan dan maklum balas daripada pelbagai pihak dan pawagam, filem ini berpotensi mendapat sambutan hebat seperti filem Paskal dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

pix3

Filem ini mengangkat kisah agensi Maritim Malaysia.

“Saya juga mensasarkan filem ini akan mencecah kutipan sebanyak RM20 juta di pawagam nanti,” katanya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh negara bermula 2 Februari ini, termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Coast Guard Malaysia: Ops Helang mengisahkan kehidupan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM iaitu Leftenan Maritim Hafiz (Saharul Ridzwan) yang ingin memulakan kehidupan baru di sebuah pulau selepas mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi.

Hafiz membawa tunangnya, Nurul (Jaja Iliyes) untuk tinggal bersama selepas mereka memutuskan untuk berkahwin.

Namun, ketika majlis pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah yang tidak dikenali menyerang dan menculik Hafiz, Nurul dan ibu bapa serta beberapa tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan.

Pegawai Penyiasat APMM daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Leftenan Maritim Melati (Julia Farhana) ditugaskan untuk menyiasat kes berjaya menyelamatkan Hafiz, Nurul dan bapanya.

Krisis terus meruncing apabila kumpulan penjenayah berterusan mencabar Hafiz dan APMM, lalu satu operasi besar-besaran diaktifkan sehingga kumpulan penjenayah terbabit tumpas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain