suria

'Mechamato Movie' filem animasi tempatan nombor satu, berjaya kutip RM30.75 juta dalam tempoh kurang sebulan

Mechamato Movie pecah rekod filem animasi.

FILEM animasi Mechamato Movie mencipta sejarah apabila berjaya memecah rekod box office apabila menjadi naskhah dengan kutipan tertinggi menerusi kategori animasi tempatan.

Meskipun baharu 22 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara, karya terbitan Monsta dan Astro Shaw itu berjaya mendapat kutipan sebanyak RM30.75 juta dan berada di kedudukan pertama dalam carta filem animasi tempatan.

Ketua Penjenamaan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin berkata, sokongan diberikan rakyat Malaysia terhadap filem berkenaan membuatkan ia mampu mencapai status karya terlaris di negara ini.

MECH1 - 1

Mechamato Movie berjaya mencecah kutipan sebanyak RM30.75 juta.

"Sokongan rakyat Malaysia dan pengusaha pawagam terhadap Mechamato Movie telah berjaya mengangkat filem ini untuk menjadi antara yang terlaris di Malaysia.

"Kejayaan ini merupakan penanda yang positif bahawa penonton Malaysia tidak akan ragu-ragu untuk memberikan sokongan kepada karya seni anak tempatan," katanya menerusi satu kenyataan kepada mStar pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Air Force The Movie: Selagi Bernyawa' kutip RM13 juta kurang tempoh seminggu, petanda baik buat industri filem tempatan

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa! 'Mat Kilau' cecah kutipan RM80 juta, Syamsul Yusof seru semua pihak lestarikan karya anak tempatan

Dalam pada itu, Mechamato Movie turut berjaya memintas kutipan filem-filem gergasi Hollywood termasuk Minions 2: The Rise of Gru (2022), Big Hero 6, Incredibles 2, Kung Fu Panda 2 dan How to Train Your Dragon: The Hidden World.

Malah filem berkenaan mempunyai peluang cerah untuk mengatasi kutipan tertinggi bagi kategori filem animasi yang ketika ini dipegang Frozen 2 (2019).

MECH2 - 1

Mechamato Movie mencetuskan fenomena luar biasa.

Untuk rekod, Mechamato Movie berkisarkan tentang seorang remaja lelaki bernama Amato menemui robot berkuasa MechaBot selepas sebuah kapal angkasa misteri terhempas di Bumi.

Amato kini boleh menggunakan keupayaan istimewa MechaBot dan menjadi tuan kepada robot berkenaan. Mereka bekerjasama untuk mengesan dan menangkap robot jahat.

Filem Mechamato Movie dijangka akan terus ditayangkan di pawagam sehingga akhir Januari 2023.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain