suria

Amen Khalid menangis di kerusi pengarah sekuel Kampong Pisang... Kadang-kadang dengar suara arwah Mamat Khalid

Amen menitiskan air mata mengenang arwah bapanya, Mamat Khalid.

ANAK kepada Allahyarham Mamat Khalid iaitu Amen Khalid mengakui emosinya terganggu sepanjang menggalas tanggungjawab menyambung pengarahan karya terakhir bapanya berjudul Kampong Pisang Berbuah Dua Kali.

Menurut Amen atau nama sebenar Mohd Khalid Amen, 25, sepanjang proses penggambaran filem berkenaan air matanya sentiasa berlinangan kerana teringatkan arwah bapa.

"Bila terdengar suara dia saya teringat dia... sebelum ini setiap kali buat suntingan video dia ada belakang saya, sampai sekarang saya boleh dengar seperti dia ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Mamat Khalid pikul amanat arwah sambung projek filem tak selesai

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat Khalid meninggal dunia, rebah di restoran miliknya

"Kadang-kadang tengah duduk dekat monitor semasa penggambaran saya macam terdengar suara dia, memang barai la menangis.

"Sampai sekarang saya masih ingat pesanan papa, dia cakap jangan main-main buat kerja dengan serius dan pegang tanggungjawab baik-baik.

Screenshot 2022-03-02 at 10.35.44 PM

Amen ingat pesanan arwah bapa.

"Arwah juga pernah nasihat saya, walau apa pun terjadi cuba yang terbaik dan layankan sahaja cabaran yang mendatang," katanya kepada mStar.

Amen ditemui semasa sidang media filem berkenaan yang diadakan secara maya pada Rabu.

Bagi saya Mamat Khalid ada satu saja di dunia dan saya tak akan sama macam dia

AMEN KHALID

PENGARAH

Dalam pada itu, Amen meluahkan rasa syukur kerana menerima sokongan hebat keluarga dan barisan pelakon lain semasa menyelesaikan projek terakhir bapanya ini.

"Sejam sebelum penggambaran saya akan rileks dahulu sebab teringat papa. Saya cari semangat dengan duduk diam dan tengok sekeliling... Alhamdulillah saya dapat sokongan kuat dari mama yang sanggup ikut ke set. Dialah kekuatan saya menyiapkan karya ini.

"Bagi saya Mamat Khalid ada satu saja di dunia dan saya tak akan sama macam dia, jadi apabila diberi tanggungjawab menyiapkan naskhah ini agak berat untuk saya.

Screenshot 2022-03-02 at 9.35.37 PM

Mamat Khalid memiliki personaliti berbeza dengan anaknya, Amen Khalid.

"Tapi saya tetap cuba sehabis baik supaya tak lari konsep papa. Saya harap penonton dan peminat dapat merasai karya ini dan terus memberikan sokongan kepada saya," ujarnya.

Berkongsi cabaran sepanjang menyempurnakan pembikinan filem ini, Amen berkata timbul rasa bimbang untuk mengarahkan barisan pelakon yang lebih senior seperti Aziz M. Osman, Kazar dan Bell Ngasri.

"Kalau cakap fasal cabaran, salah satunya saya segan dengan pelakon senior lain sebab mereka semua dah otai (lama). Nak cakap action pun rasa segan.

"Iyalah saya ni siapa, baru lagi nak mengarah tapi Alhamdulillah syukur semua pelakon beri sokongan sepanjang menjayakan setiap babak. Terima kasih kepada semua," katanya.

Screenshot 2022-03-02 at 9.33.59 PM

Antara babak dalam filem berkenaan.

Kampong Pisang Berbuah Dua Kali masih mengekalkan tunggak utama dalam meneraju watak sebagai penduduk Kampong Pisang, seperti Kazar Saisi (Pak Din), Bell Ngasri (Barkoba), Aziz M Osman (Pak Jabit), Mat London (Pak Karim), Dewa Sapri (Cik Purnama), Ahmad Yassin (Yassin), Rasydan Zakaria (Adan), Nizam Mok Ram (MA Mok), Joey Daud (Daud M), Yeop Hitler (Manap Sengau), Rashid Othman (Faguha Jabar) dan Anis Nisham (Yati).

Istimewa dalam naskhah kali ini kehadiran pelakon Datin Eina Azman memegang watak sebagai Cik Mek sudah pasti menambahkan kegamatan dalam kampung ini.

Eina juga turut menyanyikan sebuah lagu bersama watak baru Cik Gerhana lakonan Azman Mantra iaitu personaliti media sosial yang pernah tular kerana nyanyiannya.

Tampil sedikit berbeza, ini adalah kali pertama menyaksikan Universe Kampong Pisang meletakkan elemen memperkasakan golongan wanita (women’s empowerment) dalam memperkukuhkan jalan cerita.

Filem ini ditayangkan di Astro First saluran 480 bermula 3 Mac, Khamis.

Untuk rekod, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober tahun lalu.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain