suria

“Balik kampung tak boleh buat apa, peluang bersukan pun kurang” - Atlet bola sepak orang buta negara imbau cabaran

Filem Eye On The Ball bakal menemui penonton di pawagam bermula 19 Mac ini.

BAGI seorang bapa, melepaskan anaknya yang cacat penglihatan untuk merantau seorang diri jauh ke ibu kota demi mendapatkan masa depan yang lebih baik, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Namun ini antara cabaran yang terpaksa ditempuhi golongan kelainan upaya akibat kurangnya peluang pekerjaan yang boleh mereka ceburi di kawasan luar bandar.

“Kalau ikutkan bapa saya tidak mahu izinkan saya ke Kuala Lumpur.

“Apabila saya balik kampung ini saya tidak tahu nak ke mana dan tak boleh buat apa-apa. Peluang untuk saya sertai sukan pun agak kurang,” ujar Rollen Marakim, 30, yang dilahirkan buta.

Rollen kini berkhidmat sebagai operator telefon di sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun pemain bola sepak orang buta negara ini tidak berputus asa.

Buktinya dia kini berjaya mendapat tempat bukan sahaja sebagai operator telefon di sebuah hospital swasta tapi juga dalam kesebelasan utama pasukan bola sepak orang buta negara.

Kisah pahit getir anak kelahiran Kudat, Sabah ini untuk membina kehidupan yang lebih baik menjadi antara intipati filem kisah benar berjudul Eye On The Ball yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 19 Mac ini.

Filem arahan Chen Yih Wen yang diterbitkan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE, daripada Star Media group ini memaparkan kesungguhan sekumpulan anak muda cacat penglihatan dalam mengubah hidup mereka menggunakan platform sukan.

Rollen memberanikan diri berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mengubah masa depannya.

Filem yang mendapat pencalonan sebagai Filem Asing Terbaik di Festival Filem Oslo ini juga bertujuan meraih dana bagi membantu lebih ramai golongan kelainan upaya di Malaysia di samping membuka mata orang ramai mengenai keupayaan golongan istimewa ini.

Sebahagian daripada dana terkumpul hasil jualan tiket bakal disalurkan ke Kelab Bola Sepak Pan-Disability, iaitu sebuah badan yang membantu golongan kelainan upaya termasuk kudung dan kecacatan mental, untuk mengubah hidup dengan menceburi aktiviti sukan.

Dana ini bakal disalurkan untuk pembina sebuah pusat latihan bola sepak khas yang akan turut dilengkapi ruang niaga bagi kegunaan masyarakat kelainan upaya.

Projek Eye On The Ball ini turut mendapat sokongan Yayasan CIMB, yang juga merupakan antara kumpulan terawal yang memperjuangkan nasib komuniti cacat penglihatan di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di www.eyeontheballfillm.com.

Eye On The Ball

Artikel Lain