suria

#kakibola mesti kagum, orang buta pun boleh main bola sepak!

Filem Eye On The Ball bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Mac ini.

TAHUKAH anda orang buta juga boleh bermain bola sepak? Ingin tahu bagaimana? Jangan lupa saksikan filem kisah benar Eye On The Ball yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Mac ini.

Eye On The Ball menceritakan kisah perjalanan hidup sekumpulan anak muda cacat penglihatan yang menyimpan hasrat untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem inspirasi perjalanan atlet 'Harimau buta' dalam 'Eye On The Ball' ditayangkan di London

Filem arahan Chen Yih Wen ini merupakan produksi sulung terbitan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE, daripada Star Media Group, yang telah merangkul pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.

Filem ini mempunyai mesej bahawa tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.

Bermula sebagai sebuah pasukan yang hanya bermain secara sambilan, usaha gigih pasukan ini akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya merangkul pingat emas di Sukan Para Asean 2015.

Namun, di sebalik kejayaan ini tersimpan pelbagai dugaan serta cabaran yang terpaksa mereka tempuhi demi mencapai kehidupan yang lebih baik.

"Kebanyakan kita mungkin kurang bergaul dengan golongan istimewa seperti mereka, jadi saya berharap filem ini dapat membuka minda masyarakat untuk melihat kebolehan golongan cacat penglihatan ini," ujar Chen.

Sementara itu, pelakon utama, Mohd Asri Arshad, 25 berkata mesej utama yang ingin disampaikan melalui filem ini adalah tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.

Kebanyakan kita kurang bergaul dengan golongan istimewa seperti mereka, jadi saya berharap filem ini dapat membuka minda masyarakat untuk melihat kebolehan golongan cacat penglihatan ini.

CHEN YIH WEN

PENGARAH

“Ada peguam yang nak jadi pelakon, doktor yang nak jadi penulis dan jurutera yang nak jadi pemain piano tetapi mereka pendamkan sahaja impian tersebut sebab mereka tak percaya ia boleh menjadi kenyataan.

“Filem ini membuktikan sebaliknya” katanya.

Sebahagian daripada dana yang terkumpul melalui jualan tiket akan disalurkan ke Kelab Bola Sepak Pan-Disability, yang berhasrat untuk membina sebuah pusat latihan bola sepak khas untuk kegunaan komuniti kelainan upaya.

“Kami terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain bagi menjalankan sesi latihan untuk anak-anak kelainan upaya ini, dan ini semua melibatkan kos.

“Fasiliti yang menjadi impian kami ini bukan sekadar padang bola biasa, tapi ia bakal menjadi rumah kepada golongan kelainan upaya, untuk berlatih dan menjalankan peniagaan,” ujar jurulatih pasukan bola sepak orang buta Malaysia, Sunny Shalesh.

Filem ini tercalon sebagai Filem Dokumentari Luar Terbaik di Festival Filem Oslo.

Filem ini terlebih dahulu memulakan tayangan perdana di Festival Filem Aperture: Asia dan Pasifik di London, Newscastle dan Manchester.

Ia juga tercalon sebagai Filem Dokumentari Luar Terbaik di Festival Filem Oslo.

Projek Eye On The Ball ini turut mendapat sokongan CIMB Foundation, yang juga merupakan antara kumpulan terawal yang memperjuangkan nasib komuniti cacat penglihatan di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di www.eyeontheballfilm.com.

Kaki Bola, Eye On The Ball

Artikel Lain