suria

Kisah pontianak bertenggek atas busut sindir siapa? - Busut Bonang pasti buat anda tak kering gusi

Pelakon utama filem Busut Bonang iaitu Along Eyzendy dan Nadzmi Adhwa.

FILEM komedi seram merupakan antara genre filem yang masih menjadi pilihan penonton untuk ke panggung.

Menyedari hakikat itu, Alfanazra Productions Sdn. Bhd mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Busut Bonang.

Pengarahnya, Khalid Nadzri berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan adalah cetusan bersama penulis skrip iaitu Siti Jasmina Ibrahim.

Menurutnya, filem ini mengangkat tema urban legend, di mana segelintir masyarakat sekarang masih kuat mempercayai tentang kejadian-kejadian mistik di sekitar mereka.

Antara babak dalam filem Busut Bonang.

”Menerusi proses perbincangan dan genre komedi seram yang dipilih bersama seorang lagi penulis skrip iaitu Aloy Paradoks, akhirnya ia diolah menjadi sebuah cerita mengenai saka sebagai isu utama.

”Malah, busut juga menjadi suatu tanggapan kisah rakyat yang berkait rapat dengan entiti, misalnya menjadi tempat pemujaan animisme dan pontianak bertenggek,” ujarnya.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 19 Disember 2019, Busut Bonang menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah @ Bard dan Ropie.

Filem ini pasti membuat penonton tidak kering gusi.

Mengenai pemilihan genre seram sebagai nashkah terbaharunya, Khalid berkata, genre sedemikian bersifat universal dan sesuai untuk tontonan masyarakat.

Jelasnya, filem ini menerapkan sebuah kisah seram yang dekat dengan rakyat, terutama yang masih mempercayai kisah mistik.

”Selain menerapkan elemen hiburan kepada penonton, ia juga memberi sindiran sinis terhadap masyarakat yang masih lagi tebal dengan kepercayaan mistik,” ujarnya.

Penggambaran filem berkenaan dilakukan pada Januari 2019 di dua buah lokasi iaitu di Kuala Kangsar dan Ipoh selama 20 hari.

Ketika ditanya tentang cabaran sepanjang pembikinan Busut Bonang, Khalid memberitahu antara yang paling sukar ialah untuk menerapkan dua elemen iaitu seram dan komedi.

”Bagi saya bukan mudah untuk menterjemahkan sebuah filem seram dengan menerapkan elemen komedi untuk membuatkan penonton ketawa.

”Bagaimanapun, lakonan yang ditampilkan barisan pelakon memang banyak membantu pembikinan filem ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Artikel Lain