suria

DCC, Ace Pictures mahu bantu produksi filem tempatan bawa karya ke peringkat antarabangsa

DCC dan Ace Pictures menandatangani perjanjian kerjasama dalam membantu penggiat seni mengembangkan karya mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

DUA organisasi gergasi berkaitan filem iaitu Digital Content Connection (DCC) dan syarikat produksi, Ace Pictures meluaskan rangkaian kerjasama dan bakal menjadi jambatan untuk penggiat seni membawa karya ke peringkat global.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan DCC, Sara Leana Nattaya Azmi, pengkarya tidak perlu lagi bimbang mencari dana kerana DCC dan Ace Pictures akan membantu menyediakan platform untuk karya tempatan diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

"Kerjasama antara DCC dan Ace Pictures ini membuka peluang kepada pengkarya tempatan sama ada pembikin filem, animasi, dokumentari dan apa saja produk seni yang mahu diketengahkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang penyertaan, Profima buka peluang karya di media sosial untuk dipertandingkan di AP2019

ARTIKEL BERKAITAN: Finas sokong siasatan dana filem ‘dilesapkan’ penggiat seni

"Sebelum ini, Ace Pictures memberi fokus pada penerbitan filem antarabangsa, tetapi sudah masanya, produksi milik warga Malaysia ini memberi peluang kepada pembikin filem tempatan untuk mengetengahkan karya ke peringkat antarabangsa.

"Kami akan mengenal pasti dan melakukan kajian terhadap projek yang layak bagi menepati syarat yang ditetapkan supaya menarik minat pasaran global," katanya.

Ketua Pegawai Kewangan DCC, Sara Leana Nattaya Azmi.

Menerusi perjanjian, kedua-dua syarikat ini akan menyediakan rangkaian ke peringkat antarabangsa, pengedaran dan pembangunan karya serta produk seni, sejajar dengan perkembangan dunia digital yang semakin pesat membangun di seluruh dunia.

Ia termasuklah membantu filem-filem tempatan yang terkeluar awal daripada pawagam untuk ditayangkan semula di pawagam baharu yang bakal diwujudkan di Zebra Showcase, Palace of Golden Horses, tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACE Pictures, Johnny Chang, berkata kolaborasi ini sebagai satu kerjasama yang menarik dan memberi impak positif kepada pengkarya filem tempatan.

(Gambar hiasan) DCC, Ace Pictures jalin kerjasama mahu bantu bawa filem berkualiti ke peringkat antarabangsa.

"Kami teruja dengan jalinan kerjasama ini. Gabungan antara dua teraju ini dapat membantu untuk memasarkan karya penerbit filem tempatan yang mempunyai kualiti terbaik dalam naskah mereka di peringkat antarabangsa.

"Kami bukan sekadar mahu menyediakan dana semata-mata... Besar impian kami untuk melihat pengkarya tempatan menggapai kejayaan di persada global.

"Menerusi rangkaian hubungan kami, terutamanya dengan pengarah, penerbit dan pengedar di Amerika Syarikat, kami mahu melihat karya berkualiti tempatan mempunyai tempat di mata dunia," katanya.

DCC, Ace Pictures

Artikel Lain