suria

Betul-betul seram! Filem belum keluar, 100 pawagam janji tayang ‘Anak Perjanjian Syaitan’

Jumlah pawagam yang akan menayangkan filem Anak Perjanjian Syaitan ditambah kepada 100 pawagam.

FILEM seram, Anak Perjanjian Syaitan menerima sambutan hebat apabila ia bakal ditayangkan di 100 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk Brunei dan Singapura bermula Khamis ini.

Penerbit Screen Studios Sdn. Bhd., Saifulhaq Anani berkata pertambahan jumlah pawagam itu merupakan satu perkembangan yang cukup positif buatnya sebagai penerbit yang baharu berkecimpung dalam industri perfileman.

"Bagi saya dengan jumlah sebanyak 100 pawagam yang akan menayangkan filem ini, kami yakin Anak Perjanjian Syaitan akan memberikan satu kepuasan kepada penonton.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat tarik nafas, 'Anak Perjanjian Syaitan' cabar adrenalin penonton! 8 sebab anda wajib tonton filem seram ini

ARTIKEL BERKAITAN: Cabaran ‘Anak Perjanjian Syaitan’... Nadzmi Adhwa terima gangguan, Chacha Maembong tak fikir panjang

"Malah, kami difahamkan penambahan jumlah pawagam ini adalah permintaan pihak pawagam sendiri berdasarkan maklum balas positif penonton yang menontonnya semasa majlis tayangan perdana baru-baru ini," ujarnya.

Sebelum itu, mengikut Skim Wajib Tayang, filem berkenaan hanya ditayangkan di 80 buah pawagam sahaja.

Penonton memuji filem ini semasa tayangan perdana, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifulhaq turut memberitahu pihaknya kini dalam usaha untuk membawa filem berkenaan bagi tayangan di Indonesia.

"Pada masa ini kami telah menghantar filem ini kepada pihak pawagam di sana dan sedang menunggu maklum balas daripada mereka," jelasnya.

Anak Perjanjian Syaitan terbitan Screen Studios Sdn Bhd akan ditayangkan di pawagam pada 24 Oktober 2019.

Filem arahan Helmi Yusof itu menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Sahronizam Noor.  

Ia mengisahkan tentang Cikgu Zaidy lakonan Nadzmi Adhwa dan isterinya, Azlinda (Chacha Maembong) yang sudah tujuh tahun berkahwin, tetapi tidak mempunyai cahaya mata. 

Mereka berdua sentiasa ditekan oleh ibu Cikgu Zaidy iaitu Puan Rahmah (Jasmin Hamid) seorang janda kaya kematian suami yang terlalu ingin menimang cucu. Cikgu Zaidy selalu didesak supaya berkahwin lain dan Azlinda sentiasa dicemuh oleh ibu mertuanya itu.

Kemudian Cikgu Zaidy memohon untuk berpindah tempat kerja supaya memperoleh ketenangan dan ditempatkan di sebuah kampung di daerah kelahiran arwah bapanya. Mereka tinggal di rumah pusaka nenek Cikgu Zaidy.

Rumah pusaka yang terpencil dan menyeramkan itu dijaga oleh tukang kebun, Pak Man (Shahrulnizam Noor) dan sudah tidak didiami selama lebih lima tahun.

Sejak berpindah ke rumah tersebut, Azlinda sering menerima gangguan berupa suara bayi dan kanak-kanak bermain yang sering menghantuinya sehingga dia histeria dan pengsan. Apabila dibawa ke klinik, Azlinda telah disahkan hamil oleh doktor.

Bagaimanapun, setelah disahkan hamil, Azlinda masih sering diganggu lagi, mimpi yang aneh dan perutnya yang tiba-tiba membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari semasa diganggu dia berlari keluar dan hampir dilanggar oleh jirannya yang ‘misteri’.

Apakah kesudahannya, jangan lupa tonton filem Anak Perjanjian Syaitan di pawagam seluruh negara pada 24 Oktober 2019.

Filem: Anak Perjanjian Syaitan

Tarikh Tayangan: 24 Oktober 2019

Genre: Seram

Durasi: 1 Jam 35 Minit

Pengedar: Empire Film Solution

Pelakon: Nadzmi Adhwa, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Shahrulnizam Noor, Azlan Komeng

Anak Perjanjian Syaitan

Artikel Lain