suria

Pelakon OKU sedih filem Garang kurang sambutan, bimbang misi kumpul dana tidak berjaya

Ahmad Maembong dan Osman Omar (kanan) antara pelakon OKU yang membintangi filem tersebut.

PELAKON Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Osman Omar menyeru sokongan semua pihak terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat membantu dalam mempromosikan filem Garang.

Menurut Osman, dia bimbang misi untuk membantu golongannya terbantut jika tayangan filem itu dihentikan gara-gara tidak mendapat sambutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak romantik punca Ahmad Maembong beberapa kali putus cinta

"Jika selama ini warga OKU menyokong filem orang normal, mengapa tidak kali ini masyarakat Malaysia menunjukkan sokongan kepada filem OKU yang memberi banyak mesej dan pengajaran ini.

Wan Hanafi Su dan Ahmad Maembong antara pelakon utama.

"Filem ini bila-bila saja boleh dihentikan tayangan sekiranya tiada sambutan daripada penonton. Jika ia dihentikan maka terbantutlah misi untuk membantu golongan OKU.

"Saya juga mohon sokongan daripada pihak kerajaan untuk membantu filem ini kerana perjalanan yang kami tempuh untuk menyiapkan filem ini bukan mudah," ujarnya kepada mStar.

Filem yang mengisahkan tentang seorang atlit paralimpik yang banyak mewakili negara dalam acara sukan lumba kerusi roda itu mula ditayangkan pada 5 Disember lalu.

Saya sedih apabila majoriti yang menonton filem yang mengangkat kisah OKU hanya ditonton dalam kalangan mereka saja.

DAKSHINA MURITI

Penerbit filem

Selain Osman, filem itu menampikan barisan pelakon OKU iaitu Ahmad Maembong (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Pelakon Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid dan Pablo Amirul turut membintangi filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM1.5 juta.

Dalam pada itu, penerbit Dakshina Muriti juga meluahkan rasa sedih apabila filem tersebut tidak mendapat sambutan masyarakat.

Dakshina berkata dia berasa kecewa apabila tidak ramai masyarakat yang menyokong filem tersebut sedangkan tujuan utama dihasilkan untuk membantu golongan OKU.

Osman (paling kanan) serta Dakshina (dua dari kanan) bersama barisan pelakon filem Garang.

"Saya sedih apabila majoriti yang menonton filem yang mengangkat kisah Orang Kelainan Upaya (OKU) tersebut hanya dalam kalangan OKU sahaja.

"Inisiatif filem ini diterbitkan untuk mencari dana untuk membina sebuah asrama baharu untuk pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat, Johor.

"Tapi sejak ditayangkan, tidak ramai yang menyokong sedangkan filem ini mempunyai misi yang besar untuk membantu golongan OKU," katanya.

Osman Omar, OKU, Garang

Artikel Lain