suria

Ejen Ali: The Movie raih kutipan pecah panggung RM25 juta, bakal tayang di Indonesia

Filem Ejen Ali: The Movie berjaya mengungguli carta dengan kutipan sebanyak RM25 juta di Malaysia.

HAMPIR tiga minggu ditayangkan filem Ejen Ali: The Movie berjaya mengungguli carta filem pecah panggung dengan meraih kutipan sebanyak RM25 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar meluahkan rasa gembira atas kejayaan tersebut.

Malah, ia membuka ruang dan peluang untuk filem terbitan Primeworks Studios dan  WAU Animation itu melebarkan sayap ke Indonesia.

"Kami merasa amat gembira atas sokongan yang kami terima dari keluarga, peminat serta rakan industri animasi Malaysia yang lain.

"Setiap tiket yang dibeli dan setiap respons yang dikongsi oleh mereka menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ini.

Filem Ejen Ali menjadi pilihan penonton.

"Sambutan luar biasa yang diterima dari penonton filem ini di Malaysia membuka ruang dan peluang kepada kami untuk terus berkembang ke negara jiran Indonesia," katanya.

Filem kartun animasi itu terus menguasai carta perfileman tempatan setelah hampir tiga minggu ditayangkan di pawagam walaupun menerima saingan sengit daripada filem-filem antarabangsa yang lain.

Sempena kedatangan tahun baru 2020, Ejen Ali: The Movie mengumumkan tayangannya di pawagam terpilih Indonesia bermula 1 Januari 2020 iaitu di CGV, Flix cinemas, Kota Cinema dan Cinemax.

Dalam pada itu, menurut  Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation iaitu Usamah Zaid Yasin, peminat di Indonesia tidak sabar untuk menonton filem tersebut.

Sambutan luar biasa yang diterima dari penonton filem ini di Malaysia membuka ruang dan peluang untuk terus berkembang ke negara jiran.

DATUK AHMAD IZHAM OMAR

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios

Malah, ada yang sanggup terbang dari Indonesia ke Malaysia hanya untuk menonton filem tersebut.

"Pencapaian luar biasa filem Ejen Ali: The Movie di Malaysia telah mewujudkan gelombang fenomena yang  turut dirasakan di Indonesia.

"Kami menerima pelbagai respons dari peminat-peminat di Indonesia. Rata-rata daripada mereka bertanya akan tarikh tayangan filem ini di pawagam Indonesia.

"Bukan itu sahaja, seorang peminat tegar Ejen Ali sanggup terbang dari Indonesia ke Malaysia semata-mata kerana ingin menonton filem itu.

"Kami merasa sangat terharu dengan sokongan yang diterima dan hari ini, kami membuat pengumuman rasmi tentang tarikh tayangan di Indonesia," katanya.

Filem ini bakal ditayangkan di Indonesia.

Pelbagai kandungan eksklusif dari filem Ejen Ali: The Movie telah dimuatnaik di platform digital. 

Selain dari itu, atas permintaan ramai, skor muzik lagu tema berjudul Mama mula ditayangkan di Youtube pada hari Jumaat.

Lagu Mama dinyanyikan oleh Ida Rahayu Yusoff yang juga merupakan pelakon suara latar bagi watak Ejen Ali.

Ejen Ali: The Movie

Artikel Lain