‘Red Storm’ sekadar pengisian kosong dan tiada jiwa - Wayang | mStar

‘Red Storm’ sekadar pengisian kosong dan tiada jiwa

Salah satu babak lakonan Michael Chuah (kanan) dan Henry Thia dalam filem 'Red Storm' yang kini ditayangkan di pawagam.

Filem: Red Storm

Pengarah: Michael Chuah

Pelakon: Michael Chuah, Henry Thia, Zhang Bo Nan, Henley Hii, Li Ai Jin, Venice Min dan Tony Eusoff

Genre: Aksi

Durasi: 99 minit

Pengedar: Mega Films Distribution Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 28 Mac 2019

JIKA hendak dibandingkan nama Michael Chuah dengan pengarah berbangsa Cina yang lain, diakui bahawa populariti dan hasil kerjanya kurang diketahui ramai.
Barangkali ada kaitannya dengan portfolio seninya yang terlalu kecil apabila hanya sempat mengarahkan tiga filem cereka sahaja dalam tempoh 14 tahun ini.

Bermula dengan filem seram, Seed of Darkness pada tahun 2006, Chuah kemudiannya beralih arah kepada genre komedi aksi, Fist of Dragon (2011) dan mengarahkan filem ketiganya, Firefly (2013) yang turut mempertaruhkan genre serupa.

Masa berlalu dan enam tahun kemudian, Chuah kembali dengan buah tangan baharunya, Red Storm yang telah memulakan tayangannya minggu lalu.

Ternyata, tempoh kehilangannya itu telah membuatkan pengarah berusia 39 tahun itu cuba keluar daripada zon selesanya dengan mengarahkan sebuah filem aksi.
Seperti mana dua filem terakhirnya, Chuah bukan hanya menjadi pengarah tetapi turut menerajui filem Red Storm bersama-sama pelakon lain dari China, Singapura dan Malaysia.

Salah satu babak aksi filem Red Storm arahan Michael Chuah.

Melihatkan kepada sinopsis cerita ini, penulis membayangkan bahawa ia adalah sebuah filem aksi yang cukup hebat dari segenap aspek.

Tajuknya sahaja sudah berupaya menggamit penulis kerana beranggapan bahawa ia adalah sebuah filem bercorak kepolisan dengan satu misi besar yang mampu memberikan impak tersendiri.

Lebih-lebih lagi selepas kejayaan filem-filem aksi tempatan seperti Paskal The Movie (2018) dan Polis Evo (2015), penulis tidak menolak bahawa ia menjadi inspirasi buat pembikin filem lain untuk memeriahkan lagi sinema tempatan dengan genre serupa.

Namun, malang sekali untuk Red Storm apabila ia tidak mencengkam jiwa penulis untuk mengangkat karya ini sebagai sebuah naskhah yang memberansangkan.

Penulis tidak menolak kenyataan bahawa Red Storm memiliki premis yang menyakinkan. Malah, jika olahannya dilakukan dengan penuh ketelitian dan kemas, ia mampu menjadi sebuah karya terbaik.

Bukan mahu Red Storm menjadi seperti dua filem aksi yang penulis sebutkan tetapi dengan cerita yang dimiliki oleh filem ini, ia boleh diletakkan sebaris dengan Paskal The Movie dan Polis Evo kerana kelebihan dari sudut penceritaannya.

Tetapi, ia tidak dieksploitasi sepenuhnya oleh Nick Yu selaku penulis cerita asal kerana segala-galanya tentang Red Storm hanyalah dinikmati pada permukaannya sahaja.

Pelakon kacak kelahiran China, Zhang Bo Nan (kiri) yang dilihat menjadi umpan untuk menarik perhatian penonton menonton Red Storm di pawagam.

Sebaik sahaja filem ini bermula, penulis melihat potensi untuk ia berkembang dengan baik apabila penonton diperkenalkan dengan watak utamanya, Ah Bu (lakonan Chuah, ya dia juga menjadi teraju) yang digambarkan sebagai seorang pegawai polis elit.

Satu demi satu watak diperkenalkan dalam plot yang berbeza membuatkan penulis memang merasakan bahawa Red Storm mampu terus memacu adrenalin untuk sampai ke puncak.

Tidak sampai pertengahan cerita pun, karya ini hanya bergerak secara mendatar tanpa diberikan suntikan yang dapat membuatkan penonton menikmatinya dengan perasaan kepuasan pada tahap maksimum.

Permasalahan besar dalam kebanyakan filem tempatan adalah dari sudut olahan cerita yang kurang memberansangkan dan jarang sekali dilakukan keluar daripada norma pembikinan filem konvensional.

Dalam konteks Red Storm juga tidak terkecuali. Walhal ia boleh menjadi sebuah filem aksi yang bagus jika elemen cerita itu dititik beratkan di samping beberapa aspek teknikal yang lain untuk terus melengkapkan naskhah ini.

Penulis percaya dan tidak menolak kebarangkalian bahawa genre aksi yang dipertaruhkan oleh Red Storm adalah umpan untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

Tetapi, apabila babak aksi yang dipaparkan melebihi daripada skala yang sepatutnya sehingga menenggelamkan aspek penceritaan dan perkembangan watak, maka, ia tidak dapat menjadikan Red Storm sebagai sebuah karya yang akan diingati.

Seperti mana yang penulis sebutkan, bukan hanya penceritaan tetapi aspek suntingan filem ini juga menjadikan perjalanan ceritanya kelihatan terlompat-lompat dan kurang kemas lalu tidak dapat menutup kelemahan ketara filem Red Storm ini.

Temanya yang mengenengahkan tentang masalah pemerdagangan wanita juga tidak menampakkan ia sebagai sesuatu yang diambil serius. Sebaliknya hanya menjadikan wanita dalam filem ini sebagai objek seks semata-mata.

Antara babak aksi yang menjadi pertaruhan dalam filem Red Storm.

Begitu juga dengan aspek lakonan yang penulis kira semuanya berada pada tahap biasa. Penulis tidak tahu mengapa Chuah mahu menerajui filem ini sedangkan hakikat sebenar bahawa peranannya sebagai pelakon utama kelihatan canggung sekali.

Harapnya selepas ini Chuah sedar bahawa beliau sebenarnya tidak memiliki kriteria tepat untuk memegang watak dalam filem aksi seperti ini. Jangan hanya mahu membuktikan kemampuan memikul lebih daripada satu portfolio, aspek lain semuanya terganggu juga.

Bukan mahu meletakkan sebarang label stereotaip terhadap dirinya, tetapi seandainya karya ini adalah sebuah filem aksi komedi, perkara itu tidak akan menjadi persoalan besar.

Tambahan pula, dengan mimik mukanya yang tiada jiwa dan tidak seiring dengan wataknya itu menyebabkan Red Storm sebagai santapan yang tawar.

Disebabkan itu jugalah, penulis percaya kemunculan aktor bertubuh segak kelahiran China, Zhang Bo Nan yang membawakan watak Hung Ping adalah untuk mengimbangi kemunculan Chuah di skrin selain menjadi gula-gula buat penonton.

Begitu juga dengan beberapa watak yang terpaksa dialih suara kepada bahasa Mandarin yang tidak begitu menyakinkan membuatkan babak-babak akhir filem ini berlalu begitu sahaja.

Pelakon kelahiran Malaysia, Henly Hii tidak memberikan sebarang impak terhadap lakonannya.

Penulis faham bahawa filem Red Storm adalah usahasama antara syarikat produksi Malaysia dan China tetapi sewajarnya perkara itu dipandang serius dan dilakukan sebaik mungkin.

Meskipun sudah beberapa kali bekerjasama dengan pelakon veteran Singapura, Henry Thia tetapi nampaknya kali ini kemunculan aktor itu gagal memberikan sebarang impak kerana wataknya sebagai seorang ketua polis elit langsung tidak menjadi.

Sedangkan, kalau wataknya itu diolah dengan baik dan kemas, penulis percaya kehadiran Thia akan lebih dihormati dan meninggalkan impak tersendiri memandangkan watak itu sebenarnya boleh membayangi watak utama.

Perihal itu turut sama menimpa pelakon kelahiran Kuching, Sarawak, Tony Eusoff yang memegang watak antagonis tetapi kehadirannya tidak dirasai dan digeruni.

Seperkara tentang Red Storm yang ‘menarik perhatian’ penulis apabila watak-watak pemuda Melayu majoritinya diberikan peranan antagonis dan pemaparan tersebut sebenarnya boleh menimbulkan rasa negatif sehingga membuatkan penulis tersenyum sinis.

Namun, apabila memikirkan kembali, pembikin filem berbangsa Melayu sendiri gemar menggambarkan watak pemuda Melayu dalam acuan negatif, maka, perkara itu tidak ada salahnya. Sekali sekala melihat reversal roles (pertukaran watak) dari sudut pandang berbeza, boleh jugakan?

*** Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017, kategori Kritikan Filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain

Henti siasat empat suspek MH17