suria

‘Hantu Kak Limah’ berjaya geletek penonton, momentum merosot di hujung cerita

Kemunculan Ropie sebagai Nayan telah meninggalkan impak tersendiri dalam 'Hantu Kak Limah'.

Filem: Hantu Kak Limah

Pengarah: Mamat Khalid

Pelakon: Datuk Awie, Delimawati, Allahyarham Rab Khalid, Sharwani NS, TJ Isa, Ropie, Zul Ariffin dan Uqasha Senrose

Genre: Komedi/Seram

Durasi: 115 minit

Pengedar: Astro Shaw

Tarikh Tayangan: 9 Ogos 2018

PENULIS tidak terkejut apabila filem ke-18 arahan Mamat Khalid, Hantu Kak Limah telah mencatatkan rekod kutipan pecah panggung luar biasa kurang daripada seminggu apabila mula ditayangkan sejak 9 Ogos lalu.

Sehingga pada hari ulasan ini diterbitkan, penulis percaya angka kutipannya sudah melebihi RM10 juta dan kemampuan Hantu Kak Limah untuk melepasi RM15 juta adalah sesuatu yang tidak mustahil.

Semuanya bermula daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa dalam sinema tempatan sekali gus menjadi filem paling laris untuk tahun berkenaan dengan kutipan RM7.9 juta.

Seperti mana filem arahan Mamat Khalid yang lain, ‘Hantu Kak Limah’ juga memiliki maksud tersurat dan tersirat untuk penonton berfikir sejenak.

Nama Kak Limah pantas menjadi satu jenama isi rumah dalam kalangan masyarakat Melayu amnya dan tiga tahun selepas itu, Mamat menghasilkan pula filem kedua dalam siri Kak Limah, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Walaupun filem berkenaan diletakkan sebagai filem pecah panggung dengan kutipan RM5.89 juta tetapi impaknya kurang dirasai sebagaimana Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Barangkali menyedari peminat dan khalayak filem merindui Kak Limah, Mamat tidak mahu menghampakan mereka lalu terhasillah Hantu Kak Limah yang kini kembali semula meniti di bibir masyarakat.

Penulis berkesempatan menonton Hantu Kak Limah beberapa hari lalu mengakui bahawa Mamat masih lagi mengekalkan acuan sedia ada seperti mana dua siri filem Kak Limah terdahulu.

Sebagaimana resipi yang digunakan oleh Mamat sebelum ini, Hantu Kak Limah berupaya menggeletek audiens dengan cerita dan karakter lama mahupun yang baharu diperkenalkan kali ini.

Dari sudut penceritaan dan naratif, Mamat yang juga bekas pemenang Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 (2008) menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini menggarap cerita dengan lebih kemas dan teratur.

Susun atur ceritanya berada dalam kedudukan yang seimbang serta teratur lalu membuatkan perjalanan serta aliran cerita Hantu Kak Limah lancar dan tidak membuatkan penonton bosan dalam menantikan babak-babak seterusnya.

Gabungan empat pelakon dengan karakter tersendiri ini juga dilihat sebagai satu representasi lelaki Melayu.

Penonton tidak perlu ketawa berdekah-dekah setiap masa kerana keseimbangan komedi yang ditampilkan oleh Mamat sudah mampu membuatkan penonton terhibur waima hanya sekadar mengukir senyuman.

Bukan hanya pada cerita, tetapi setiap watak yang ditampilkan dalam Hantu Kak Limah telah melengkapkan naskhah yang ditulis oleh Mamat ini untuk membentuk acuannya menjadi sebuah karya komedi seram tersendiri.

Dalam erti kata lain, Hantu Kak Limah tidak dibayangi langsung oleh dua filem terdahulu dan ini membuktikan bahawa Mamat berjaya mencipta legasi Kak Limah tanpa perlu membuatkan penonton keliru dan berasa ketinggalan.

Apatah lagi, banyak karakter yang penulis anggap ikonik ciptaan Mamat menerusi siri filem Kak Limah dan Zombi iaitu Zombie Kilang Biskut (2014) dan Zombi Kampung Pisang (2007) sudah tiada kerana ada di antara mereka sudah meninggal dunia.

Justeru, perkara berkenaan sedikit sebanyak pasti memberikan tekanan buat Mamat untuk mencipta karakter baharu agar diseimbangkan dengan karakter sedia ada tanpa mahu penonton terus hidup dalam nostalgia lama dunia Kak Limah.

Pendek kata, Mamat mahu meneruskan kehidupan dan menyimpan kemas kenangan Kak Limah terdahulu dengan memberikan santapan baharu buat penonton.

Sebagai contoh, penulis sifatkan watak Nayan lakonan Ropie sebagai tamparan kepada watak utamanya, Husin (Datuk Awie) dan Mamat seperti mahu memberi laluan kepada watak-watak baharu ini untuk menyerlah dalam momen mereka sendiri.

Salah satu babak filem 'Hantu Kak Limah' yang sedang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat dan penonton.

Kemunculan Ropie dalam setiap babak melibatkan bekas anggota kumpulan Cecupak ini semuanya meninggalkan kesan dan ternyata pelawak ini tidak gagal menghidupkan wataknya yang bersahaja itu.

Keadaan ini juga sama dengan watak bomoh bernama Solihin Mabrur (Zul Ariffin) yang memperlihatkan sisi komik pelakon kacak bertubuh sasa itu. Tidak mustahil, watak Nayan dan Solihin akan diteruskan di masa hadapan baik dalam siri filem Kak Limah mahupun Zombie.

Pastinya, watak Yeh Sekupang antara yang menyerlah dan penulis cukup sukakan watak ini sejak diperkenalkan menerusi filem juga arahan Mamat, Rumah Pusaka Di Simpang Jalan (2014) dan seterusnya dalam filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh (2015).

Lakonan Allahyarham Rab Khalid begitu bersahaja dan tidak dinafikan bahawa watak Yeh Sekupang merupakan nadi kepada jiwa filem ini untuk terus bergerak sehinggakan ke penghujung.

Walaupun Hantu Kak Limah memiliki kelebihan tersendiri sebagai sebuah filem komedi tetapi penulis tidak dapat menolak bahawa ia turut mempunyai kelemahan yang telah merencatkannya daripada menjadi sebuah filem komedi terbaik.

Watak Kak Limah sememangnya telah menjadi jenama yang kuat dan meletakkan nama Delimawati pada satu tahap membanggakan.

Penulis merasakan bahawa momentum Hantu Kak Limah mula merosot perlahan-lahan pada babak penghujung sehingga penulis melihat ada yang tidak kena dan mula mengeluh kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Mamat sudah mampu membuatkan penonton terhibur sepanjang tiga suku perjalanan Hantu Kak Limah. Sayang sekali apabila lebihannya tidak memiliki momen terbaik untuk menutup naskhah ini dengan sempurna.

Meskipun begitu, walaupun menggunakan nama Kak Limah sebagai pelaris tetapi mesej tersirat filem ini sebenarnya lebih kepada kisah dunia lelaki dan permasalahan yang berlaku dalam realiti masyarakat hari ini.

Setiap watak utamanya iaitu Husin, Yeh Sekupang, Wani (Sharwani NS) dan Khuda (TJ Isa) semuanya bermain dengan delima dunia lelaki tanpa kita sedari. Dalam erti kata lain, empat watak utama ini ibarat satu representasi terhadap lelaki Melayu.

Watak Husin misalnya masih berhadapan dengan masalah perhubungan yang tidak kekal dan sukar untuk mencari pasangan sehingga sanggup dan terdesak mahu berkahwin dengan gadis bunian, Eton (Uqasha Senrose) walaupun sedar akan implikasinya.

Yeh Sekupang pula digambarkan sebagai lelaki Melayu berusia yang tidak boleh dipisahkan dengan seks dan rangsangan lucah sehingga melihat mayat Kak Limah (Delimawati) pun mudah terangsang. Mahu atau tidak, harus diakui imej dan personaliti Yeh Sekupang yang stereotaip itu wujud dalam masyarakat Melayu.\

Mamat Khalid (kanan) dan penerbit filem Hantu Kak Limah, Gayatri Su-Lin Pillai (tengah) sewaktu di lokasi penggambaran.

Sementara itu, watak Wani pula mewakili lelaki muda yang lebih mengutamakan kehidupan luar rumah bersama kawan-kawannya sehingga lupa kepada kewajipan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Khuda walaupun digambarkan sebagai lelaki bertubuh kecil dan berwajah polos seperti pijak semut pun tak mati tetapi personaliti sebaliknya menggambarkan Khuda bukan calang-calang lelaki sehingga mampu berkahwin dua kali termasuk wanita berusia iaitu Kak Limah walaupun hanya sekadar kerja kampung.

Inilah keistimewaan yang terletak kepada insan kreatif bernama Mamat Khalid. Setiap karyanya dan setiap watak yang ditampilkan semuanya dekat dengan masyarakat Melayu yang membuatkan penonton tidak berasa canggung menonton watak-watak ini.

Maka itu, tidak hairanlah apabila majoriti filem-filem komedi arahan Mamat yang sering dianggap merapu dan mengarut oleh orang kebanyakan semuanya mendapat tempat di hati peminat. Bukan merapu kosong sebaliknya ia mempunyai jiwa dan nilai estetika tersendiri.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Hantu Kak Limah, Mamat Khalid

Artikel Lain