suria

Lengkap segala rencah, ‘Karwaan’ bukan stereotaip filem Bollywood

Sebagai seorang bintang Bollywood yang dikenali dengan watak-watak berkarakter, Irrfan Khan cukup menyerlah

Filem: Karwaan

Pengarah: Akarsh Khurana

Pelakon: Irrfan Khan, Dulquer Salmaan, Mithila Palkar, Amala Akkineni, Kriti Kharbanda dan Akarsh Khurana

Genre: Drama/Komedi

Durasi: 114 minit

Pengedar: TGV Pictures

Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2018

PENULIS bukanlah seorang peminat tegar filem Bollywood. Namun, andai berpeluang menonton karya-karya yang bagus dan berkualiti, penulis tidak akan sama sekali menolaknya mentah-mentah.

Biarpun filem Bollywood sudah mempunyai cop mohor tersendiri dalam membentuk acuan naskhahnya, tetapi, industri perfileman terbesar dunia itu tidak lagi hanya memfokuskan kepada pembikinan filem konvensional Bollywood yang semua sudah sedia maklum.

Masa berubah dan pemikiran serta penerimaan masyarakat juga bergerak seiring dengan arus pemodenan dalam menerima karya yang berterusan memberikan hiburan semaksimum mungkin buat mereka biarpun acuan filemnya bukan lagi bersifat konvensional.

Dalam konteks ini, penulis cukup selesa untuk merujuk kepada sebuah filem Bollywood berjudul Karwaan (yang membawa maksud van) yang sempat penulis tonton beberapa hari lalu.

Gandingan mantap tiga pelakon filem ‘Karwaan’ iaitu Dulquer Salmaan (kiri), Mithila Palkar dan Irrfan Khan melengkapkan filem ini untuk menjadi sebuah naskhah terbaik.

Memandangkan Karwaan yang mendapat ulasan positif daripada pengkritik dan wartawan filem di India, maka, penulis tidak mahu melepaskan peluang menontonnya apabila ia juga ditayangkan serentak dengan Amerika Syarikat bermula 3 Ogos lalu.

Jika dilihat secara zahirnya, Karwaan bukanlah sebuah filem popular yakni membariskan pelakon ternama bertaraf Gred A. Pada hemat penulis juga, para pelakonnya memang bukan daripada mereka yang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Akan tetapi, itu bukan satu halangan untuk menikmati Karwaan yang penulis sifatkan sebagai salah sebuah karya terbaik yang sememangnya bukan sebuah filem Bollywood stereotaip.

Sebelum itu, ingin penulis nasihatkan bahawa jika mereka yang gemarkan filem Bollywood yang dilengkapi dengan runut bunyi, tarian, busana dan sinematografi, Karwaan bukan untuk anda.

Sebaliknya, Karwaan adalah untuk mereka yang mahu menonton sebuah filem yang memberikan kelainan dalam segenap aspek selain memberikan pengalaman manis terindah usai menontonnya.

Kecemerlangan Karwaan terletak kepada penghasilan lakon layarnya yang penulis sifatkan begitu indah bagaikan membaca sebuah novel yang membuatkan pembaca menyelak halaman muka surat tanpa henti sehingga tamat.

Karwaan tidak dikategorikan sebagai sebuah filem berbajet besar. Sebaliknya, keindahan filem ini yang memiliki jiwa dan rohnya yang tersendiri hanya bermula daripada sebuah insiden menjadikannya ia sebagai sebuah naskhah untuk renungan kita bersama.

Dari satu aspek, Karwaan lengkap dengan pelbagai rencah dan rasa dalam memberikan hiburan tersendiri buat penonton yang mencari makna sebuah kepuasan menonton sesebuah filem.

Ternyata, percubaan pertama Akarsh Khurana mengarahkan filem cerekanya ini memang telah membuahkan hasil yang tidak mengecewakan. Sebagai pengarah dan juga penulis lakon layar, Akarsh bijak untuk memberikan impak tersendiri dalam setiap momen yang terbentuk di layar.

Secara lahiriahnya, penulis anggap cerita Karwaan adalah sangat ringkas. Ia mengisahkan bagaimana rutin harian kehidupan seorang pemuda, Avinash (lakonan Dulquer Salmaan) yang bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat yang bukan minatnya.

Minat Avinash lebih kepada bidang fotografi tetapi mendapat tentang hebat daripada bapanya yang menyifatkan ia tidak akan dapat memberikan jaminan hidup terbaik lalu Avinash menurut sahaja permintaan bapanya walaupun jiwanya memberontak.

Disebabkan itu, hubungan Avinash dengan bapanya menjadi dingin dan renggang sehinggalah pada satu hari, dia menerima panggilan yang menyatakan bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Mahu atau tidak, Avinash perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dengan menuntut mayat bapanya di lapangan terbang. 

Namun, malangnya apabila mayat bapanya telah tertukar dengan seorang mayat wanita tua yang kemudiannya disahkan ibu kepada seorang wanita, Tahira (Amala Akkineni).

Meskipun filem Karwaan adalah filem Hindi pertamanya, pelakon Dulquer Salmaan cukup cocok dengan watak Avinash.

Memikirkan tentang keadaan mayat tersebut, Avinash dengan bantuan sahabatnya yang beragama Islam bernama Shaukat (Irrfan Khan), bersetuju untuk ke Kochi bagi menjalankan proses penukaran mayat tersebut.

Semuanya bermula dengan baik dan bergerak lancar sehinggalah Tahira menelefon Avinash dan memberitahu bahawa anak perempuannya, Tanya (Mithila Palkar) didakwa hilang di kolejnya.

Memandangkan kolej Tanya terletak di pertengahan perjalanan sebelum ke Kochi, Avinash bersetuju membantu Tahira untuk mencari Tanya yang kebetulan masih berada di kolejnya.

Perjalanan Avinash dan Shaukat diteruskan dengan disertai Tanya yang kemudiannya mencetuskan pelbagai insiden menarik dan melucukan sehingga membuatkan Avinash selaku watak protagonisnya berjaya melalui proses pencarian jiwa yang tidak pernah dilihatnya selama ini.

Tidak perlu untuk penulis terangkan selanjutnya kerana tidak mahu memberikan menjejaskan keinginan mereka yang mahu menonton Karwaan kelak. Tetapi, setiap insiden yang berlaku antara Avinash, Shaukat dan Tanya sebenarnya memiliki tema tersendiri dalam menterjemahkan makna kehidupan dari sudut pandang berbeza.

Karwaan tidak hanya bermain dengan tema persahabatan, kasih sayang mahupun pentingnya sebuah ikatan kekeluargaan itu semata-mata. 

Tetapi Karwaan turut mempersembahkan tentang bagaimana globalisasi yang membentuk sebuah modenisasi yang seterusnya meruntuhkan sesebuah agama, budaya dan kepercayaan seseorang itu.

Salah satu babak filem Karwaan yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Salah satu contoh terbaik yang penulis lihat adalah bagaimana kehakisan bahasa ibunda dalam kalangan anak-anak muda hari ini yang lebih selesa untuk berbicara dalam bahasa Inggeris yang disifatkan bahasa global dan moden.

Ini boleh dilihat bagaimana Tanya yang merupakan seorang remaja perempuan moden yang lemah dalam bahasa ibundanya, Malayalam dan hanya bertutur dalam bahasa Inggeris waima ketika mengeluarkan kata-kata kurang manis sekalipun.

Apalah erti sebuah filem Bollywood tanpa muzik. Namun, skor muzik dan runut bunyi yang ditawarkan dalam Karwaan bukan sembarangan dan tidak tipikal kerana muziknya yang moden itu cukup menarik dan tepat untuk setiap momen penting dalam Karwaan.

Sebagaimana yang penulis katakan di awal, Karwaan bukan sahaja sebuah naskhah yang digarap penulis teliti dan berkualiti tetapi nilai tambahnya terletak kepada gandingan tiga pelakon utamanya iaitu Irrfan Khan, Dulquer Salmaan dan Mithila Palkar yang telah melengkapkan Karwaan menjadi sebuah filem bertaraf Gred A.

Pastinya, lakonan Irrfan Khan paling menyerlah dan mencuit hati. Setiap kemunculannya meninggalkan impak sehingga membuatkan penonton tersenyum dan ketawa sendirian melihat aksinya yang bersahaja.

Pengarah dan penulis lakon layar filem Karwaan, Akarsh Khurana (tengah) bersama dua pelakon filem berkenaan, Dulquer Salmaan (kiri) dan Mithila Palkar.

Watak Avinash juga dijayakan dengan baik oleh Dulquer Salmaan yang merupakan anak kepada pelakon legenda India, Mammoothy meskipun Karwaan adalah filem Hindi pertama lakonannya. Personaliti Avinash memang cocok sekali dengan Dulquer lalu menampakkan watak itu hidup di skrin.

Aspek sinematografi Karwaan memberikan satu perspektif baharu buat penonton tentang keindahan bumi India dari sudut pandang golongan marhaen.

Ia ternyata lari daripada pengimejan kebanyakan filem Bollywood yang gemar mempamerkan kemewahan, kesempurnaan dan keindahan yang ada kalanya jauh daripada realiti kehidupan sebenar.

Pujian itu harus diberikan kepada pengarah sinematografi, Avinash Arun telah memberikan hasil kerja kamera dan warna yang nampak sederhana tetapi memiliki nilai estetika yang tinggi dan berada dalam kelas tersendiri.

*** Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia (Akifma) 2017, kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.


Karwaan, Bollywood

Artikel Lain