suria

Tom Cruise buktikan masih hebat dalam ‘Mission: Impossible - Fallout’

Filem: Mission: Impossible - Fallout

Pengarah: Christopher McQuarrie

Pelakon: Tom Cruise, Rebecca Ferguson, Simon Pegg, Ving Rhames, Michelle Monaghan, Alec Baldwin, Sean Harris, Henry Cavill

Genre: Aksi

Durasi: 2 jam 30 minit

Pengedar: United International Pictures

Tarikh Tayangan: 26 Julai 2018

SEBELUM melangkah ke panggung wayang untuk menyaksikan filem Mission: Impossible - Fallout, penulis meletakkan harapan menggunung untuk siri popular itu.

Manakan tidak, filem yang sebati dengan aktor popular Tom Cruise ini sememangnya mempunyai kelompok pengikutnya yang tersendiri.

Ternyata, ia masih lagi berbisa seperti siri-siri terdahulu sejak ia diperkenalkan 22 tahun lalu.

Paling mencuri tumpuan pastinya teraju utama filem itu, Tom Cruise yang cemerlang mempamerkan lakonan mantap penuh energetik biarpun usianya kini sudah mencecah 56 tahun.

Tom Cruise dalam adegan Mission: Impossible - Fallout.  

Lebih mengejutkan, Tom Cruise melakonkan sendiri aksi-aksi lasak untuk karya itu termasuklah aksi terjunan HALO (high altitude low open) dari sebuah pesawat pada ketinggian 25,000 kaki.

Selain Tom Cruise, barisan pelakon lain seperti Rabecca Ferguson, Simon Pegg, Ving Rhames, Alec Baldwin dan Henry Cavill juga mempamerkan lakonan mantap menerusi filem berdurasi 2 jam 30 minit itu.

Digarap oleh Christopher McQuarrie, filem Mission: Impossible - Fallout berada pada kelasnya yang tersendiri dan boleh diangkat sebagai salah satu karya terbaik untuk 2018.

Magis sentuhan pengarah ini ternyata menjadi sepertimana dia berjaya melahirkan filem hebat seperti The Mummy suatu ketika dahulu.

Malah, garapan pemenang Anugerah Akademi ini tampak begitu kemas dan memberi keyakinan kepada penonton untuk kekal menonton sehingga minit terakhir filem itu.

Dari kiri; Simon Pegg, Rebecca Ferguson, Tom Cruise dan Ving Rhames.

Bercerita mengenai aksi yang padat sepanjang perjalanan filem ini, ia ternyata membuatkan penulis tidak senang duduk sepanjang ia dipertontonkan.

Babak antara dua helikopter yang saling berkejaran di lereng gunung misalnya kelihatan begitu realistik sehingga beberapa kali terdengar teriakan penonton yang gerun di dalam panggung wayang.

Sorotan aksi-aksi yang dipaparkan bagaikan membawa penonton menelusuri perjalanan adrenalin yang menjadi tarikan utama filem ini.

Biarpun filem ini merupakan kesinambungan kepada siri-siri sebelumnya, penonton yang baru pertama kali menonton karya ini masih lagi boleh memahami perjalanan cerita secara keseluruhan.

Secara ringkasnya, biarpun bukan yang terbaik, Mission: Impossible - Fallout masih lagi boleh berdiri sebaris dengan karya-karya bermutu untuk tahun ini seperti Black Panther, Avengers: Infinity War dan A Quiet Place.

Malah, jika ada yang bertanya sama ada berbaloi atau tidak untuk menonton Mission: Impossible - Fallout, tanpa berfikir panjang penulis menyarankan anda pergi ke panggung wayang terdekat dan saksikanlah sendiri karya hebat ini.

Artikel Lain