Misteri dan manipulasi naskhah ‘Tomorrow Is Another Day’ - Wayang | mStar

Misteri dan manipulasi naskhah ‘Tomorrow Is Another Day’

Dua bintang utama filem ‘Tomorrow Is Another Day’, Teresa Mo (kanan) dan Ling Man Lung yang telah memberikan lakonan berkesan.

Filem: Tomorrow Is Another Day

Pengarah: Chan Tai Lee

Pelakon: Teresa Mo, Ray Lui Leung Wai, Ling Man Lung, Bonnie Xian, Prudence Liew, Candice Yu dan Elvina Kong.

Genre: Drama

Durasi: 90 minit

Pengedar: Lotus Five Star

Tarikh Tayangan: 12 April 2018

SEBAIK sahaja keluar dari panggung selepas menyaksikan filem Tomorrow Is Another Day, ia membuatkan penulis berfikir sejenak.

Bicara hati penulis memikirkan bagaimana sebuah filem yang penulis kategorikan sebagai terbaik ini berjaya dipersembahkan dengan sedemikian rupa.

Meskipun tidak mempertaruhkan nama-nama popular dan komersial dari Hong Kong, namun, kekuatan cerita dan lakon layar Tomorrow Is Another Day membuktikan bahawa sinema dari negara bekas jajahan empayar British itu masih lagi utuh berpengaruh.

Sebelum ini, penulis ada membaca tentang filem Tomorrow Is Another Day ini yang meraih perhatian peminat filem dan pengkritik di Hong Kong. Disebabkan itu, penulis tidak mahu melepaskan peluang menontonnya apabila mengetahui ia ditayangkan di Malaysia sejak 12 April lalu.

Ditambah pula ia dicalonkan untuk empat kategori dalam Anugerah Filem Hong Kong Ke-37 yang baharu sahaja berlangsung beberapa hari lalu, pastinya Tomorrow Is Another Day ada sesuatu yang ingin diceritakan kepada khalayak.

Filem Tomorrow Is Another Day yang berjaya memberikan misteri dan memanipulasi minda penonton dengan naratif yang luar daripada kebiasaan.

Sebagaimana sebilangan penonton tempatan yang boleh menghargai filem Redha (2016) arahan Tunku Mona Riza, percayalah, Tomorrow Is Another Day tidak akan mengecewakan kerana kualiti filem sulung arahan Chan Tai Lee yang sebelum ini menulis lakon layar filem trilogi Ip Man memang berada pada tahap membanggakan.

Tema dan subjek utama filem ini berkisarkan tentang kehidupan sebuah keluarga yang hidup sederhana di Hong Kong dalam membesarkan seorang anak yang menghidap autisme.

Ya, penulis tidak menafikan subjek itu adalah sesuatu yang mungkin agak membosankan untuk sesetengah penonton tetapi sebagai penulis dan pengarah, Tai Lee telah mempersembahkan sebuah karya yang menyimpang jauh daripada pemikiran skeptikal penonton.

Mungkin juga apabila memperkatakan tentang subjek yang berlegar tentang penyakit autisme, ada yang beranggapan ia sebuah karya yang klise dengan memaparkan kepayahan dan kesusahan ibu bapa dalam mendidik anak istimewa itu.

Tetapi, Tai Lee telah mencipta sebuah cerita yang pada hemat penulis telah memberikan satu perspektif baharu dalam pemaparan kisah tentang anak-anak autistik ini dalam acuan yang cukup unik dan istimewa.

Salah satu babak yang mengusik jiwa dalam filem Tomorrow Is Another Day.

Secara jelas juga telah menampakkan Tai Lee melakukan penyelidikan dan rujukan yang menyeluruh sebelum menghasilkan lakon layar ini kerana segala-galanya nampak realistik dan tidak membuatkan penonton rasa kurang yakin mahupun tertipu.

Setiap satunya biarpun dihasilkan dengan teliti tetapi ia tidak dilakukan dengan berlebih-lebihan. Metafora kehidupan sebuah keluarga hidup sederhana di sebalik kehebatan dan kepesatan kota metropolitan seperti Hong Kong sudah cukup untuk membuatkan Tai Lee membuktikan permasalahan sebenar.

Penulis tidak menafikan bahawa secara harafiahnya, cerita Tomorrow Is Another Day hanyalah pada tahap biasa tetapi misteri naratif yang bergerak dari awal hingga akhir itulah yang mengubah cerita biasa itu tadi menjadi istimewa.

Cerita biasa itu hanyalah tentang pergolakan yang berlaku dalam kehidupan seorang suri rumah Puan Wong (lakonan Teresa Mo) dalam mengendalikan tugasan hariannya termasuklah menjaga anak autistiknya, Kwong (Ling Man Lung).

Dalam masa yang sama, konflik mula timbul apabila Puan Wong mendapat tahu bahawa suaminya (Ray Lui) mempunyai hubungan sulit dengan seorang gadis (Bonnie Xian) selepas Puan Wong mencurigai tindak-tanduk suaminya.

Sebagai bintang veteran Hong Kong, Teresa Mo telah memberikan pesembahan lakonan yang melengkapkan profil seninya sebagai seorang aktres.

Berita tersebar pantas termasuklah di kalangan kawan-kawan Puan Wong yang tinggal di kawasan pangsapuri yang sama. Akan tetapi, Puan Wong telah memasang niat dan merancang untuk membunuh teman wanita suaminya itu.

Di sinilah penonton akan disajikan babak demi babak yang penulis anggap memiliki misterinya sendiri dan menarik perhatian audiens untuk terus duduk lalu menantikan apakah yang berlaku seterusnya.

Pujian yang penulis berikan kepada filem Tomorrow Is Another Day adalah disebabkan kekuatan cerita dan bagaimana ia memanipulasi penonton untuk berfikir di luar kotak terutama berhubung dengan penyakit autism itu sendiri.

Dari satu sudut perspektif lain tentang ceritanya, Tomorrow Is Another Day cuba mengupas permasalahan autism yang tidak banyak diketahui umum selama ini kerana penyakit ini tidak memiliki corak yang serupa seperti kebanyakan penyakit lain.

Teresa Mo (kiri) dan Ling Man Lung masing-masing diiktiraf dengan trofi Pelakon Wanita Terbaik dan Pendatang Baharu Terbaik bagi filem Tomorrow Is Another Day pada Anugerah Filem Hong Kong Ke-37, beberapa hari lalu.

Secara tidak langsung, Tai Lee mahu bercerita tentang peranan ibu bapa dan juga persekitaran yang sememangnya memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak autistik ini. Lebih-lebih lagi dalam mengangkat martabat seorang wanita dan ibu yang tidak pernah lelah menjalankan tanggungjawab mereka terutama melibatkan soal anak.

Menyentuh tentang bab lakonan pula, Tomorrow Is Another Day tidak memerlukan pelakon utama yang ramai. Cukup hanya sekadar empat pelakon sahaja yang berjaya memainkan watak masing-masing dengan jayanya.

Sudah pasti tumpuan dan titik fokus cerita ini terletak kepada dua pemain utamanya iaitu Teresa Mo dan bintang baharu, Lin Man Lung yang telah memberikan persembahan lakonan yang cukup berkesan sebagai ibu dan anak autistik.

Ternyata, keberkesanan lakonan mereka itu telah berjaya memikat juri apabila kedua-duanya diiktiraf dengan trofi Pelakon Wanita Terbaik dan Pendatang Baharu Terbaik pada Anugerah Filem Hong Kong Ke-37 daripada empat pencalonan yang diterima.

Bahkan, pelakon pembantu yang memegang watak rakan-rakan Puan Wong yang penulis labelkan sebagai kelompok makcik bawang (merujuk kepada istilah yang hangat dipergunakan tatkala ini) juga memberikan lakonan yang meninggalkan impak.

Pesanan penulis kepada peminat filem, tidak salah sesekali bertukar angin dengan menonton karya-karya berkualiti seperti Tomorrow Is Another Day. Tidak salah juga sesekali ‘mengemas kini’ otak dan minda untuk menerima dan menikmati filem seperti ini dengan terbuka.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 (Akifma) kategori kritikan filem dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Ends.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Zainuddin Maidin meninggal dunia

Enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti