suria

Mana Pembaharuan ‘The Hitman’s Bodyguard’

Keserasian Ryan Reynolds dan Samuel L. Jackson telah berjaya menutup kelemahan cerita The Hitman’s Bodyguard yang merupakan gandingan pertama mereka.

FILEM: The Hitman’s Bodyguard

PENGARAH: Patrick Hughes

PELAKON: Samuel L. Jackson, Ryan Reynolds, Gary Oldman, Elodie Yung dan Salma Hayek.

GENRE: Aksi/Komedi

DURASI: 118 minit

PENGEDAR: Rainfilm Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 17 Ogos 2017

KALI pertama melihat poster filem The Hitman’s Bodyguard, sememangnya ia sudah memberi gambaran jelas tentang keseluruhan filem ini apabila ia memparodikan poster filem popular, The Bodyguard (1992) lakonan mendiang Whitney Houston dan bekas pemenang Oscar, Kevin Costner.

Apabila melihat aktor kacak, Ryan Reynolds mendukung bekas calon Oscar, Samuel L. Jackson sama seperti poster asal filem The Bodyguard, pastinya ia adalah sebuah filem aksi komedi yang akan mengundang hilai tawa penonton meskipun judulnya tidak memberikan gambaran berbeza.

Ditambah pula dengan portfolio kemas Reynolds sebagai aktor yang sinonim dengan genre komedi manakala Jackson yang sudah sebati dengan filem aksi, maka, gandingan itu sedikit sebanyak memperlihatkan sesuatu yang menarik.

Sementelah, The Hitman’s Bodyguard juga merupakan filem cereka pertama menggandingkan Reynolds dan Jackson, sudah tentu peminat filem mahu melihat sejauh manakah keberkesanan gandingan mereka itu.

Dari sudut lain pula, baik Reynolds mahupun Jackson, kedua-duanya juga lebih dikenali menerusi watak komik Marvel iaitu Deadpool dan Nick Fury yang mungkin telah menyumbang ke arah keinginan penonton untuk menonton sisi lain mereka di sebalik watak popular yang dilakonkan mereka sebelum ini.

Berbalik kepada The Hitman’s Bodyguard, seperti mana yang penulis sebutkan di perenggan awal di atas, filem arahan Hughes yang sebelum ini mengarahkan filem aksi, The Expandables 3 sememangnya dibikin untuk mereka yang menggemari filem aksi komedi.

Ryan Reynolds sebagai Michael Bryce dan Samuel L. Jackson (Darius Kincaid) dalam filem The Hitman’s Bodyguard.

Hampir dua jam menontonnya, penulis simpulkan bahawa The Hitman’s Bodyguard tidak membawa sebarang pembaharuan baik dari segi konsep cerita mahupun watak itu sendiri.

Jika dilihat kepada perjalanan cerita The Hitman’s Bodyguard itu sendiri, tidak banyak yang boleh diperkatakan melainkan ia hanyalah acuan filem aksi yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Pun begitu, bagi mereka yang menggemari filem aksi, barangkali tiada masalah buat mereka untuk menerima filem ini dan menikmatinya dari mula hingga akhir.

Babak-babak aksi yang ditampilkan dalam beberapa adegan tertentu terutama melibatkan aksi kejar-mengejar dan kemusnahan di Amsterdam, Belanda boleh disifatkan sebagai antara yang menarik.

Penulis turut terhibur dengan babak berkenaan sehingga mata terus tertancap di skrin sehingga ia berakhir dan sedikit sebanyak ia boleh dianggap sebagai penyelamat kepada kelemahan jalan ceritanya.

Nama pun filem aksi bukan? Justeru, plot dan perkembangan cerita bukanlah sesuatu yang begitu diutamakan dalam filem seperti ni.

Aksi Samuel L. Jackson dalam salah satu babak aksi filem The Hitman’s Bodyguard.

Lalu, untuk menutup kelemahan seperti itu, babak aksi yang menyakinkan amat diperlukan dan itu yang berlaku dalam The Hitman’s Bodyguard.

Seperkara tentang The Hitman’s Bodyguard yang cukup stereotaip adalah watak yang ditampilkan itu sendiri yang penulis anggap sudah berulang kali ditonjolkan dalam filem.

Apa yang baharu apabila pelakon kulit hitam seperti Jackson membawakan watak antagonis manakala aktor kacak berkulit putih (Reynolds) pula diberikan peranan sebagai watak seorang pengawal peribadi yang perlu melindungi kliennya atas arahan pihak berkuasa?

Cuma, penulis membayangkan The Hitman’s Bodyguard akan menjadi lebih menarik jika pertukaran watak itu berlaku antara mereka dan ia mampu untuk memantapkan lagi lakonan mereka.

Ini kerana Reynolds dan Jackon memiliki keserasian yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini dan gandingan mereka sememangnya menghidupkan The Hitman’s Bodyguard.

Sesuatu yang wajar dipuji tentang gandingan mereka apabila kedua-duanya melakonkan watak mereka dengan harmoni lalu jalinan itu tidak menampakkan mereka canggung mahupun dibuat-buat.

Ryan Reynolds (kanan) sebagai seorang pengawal peribadi yang akan menjalankan tanggungjawabnya melindungi klien yang mendapatkan khidmatnya.

Baik Reynolds mahupun Jackson, kedua-duanya mengimbangi watak masing-masing tanpa perlu membayangi antara satu sama lain sehingga membuatkan penulis mahu melihat lagi gandingan mereka di layar perak di masa akan datang.

Sehinggakan, pemilihan runut bunyi yang bertepatan juga telah menjalinkan keserasian mereka itu untuk menjadikan ia lebih menarik dan membuatkan penonton ketawa melihat aksi mereka di layar.

Menyentuh tentang isu yang sama, bekas calon Oscar, Gary Oldman yang melakonkan watak seorang diktator kejam yang sedang dibicarakan di mahkamah dunia bernama Vladislav Dukhovich juga penulis anggap sterotaip.

Mengapa? Kerana watak antagonis berbangsa asing bukan sesuatu yang baharu buat Oldman. Bahkan, wataknya dalam The Hitman’s Bodyguard itu mengingatkan penulis kepada wataknya yang lebih kurang serupa dalam filem Air Force One (1997).

Begitu juga dengan kemunculan seorang lagi bekas calon Oscar, Salma Hayek yang menjadi isteri kepada watak Jackson yang tidak ubah hanyalah untuk menjadi penjamu mata audiens lelaki biarpun usia Hayek sudah melewati angka 50.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

The Hitman’s Bodyguard

Artikel Sebelum

Artikel Lain