suria

Permulaan Yang Goyah Untuk ‘The Dark Tower’

Filem The Dark Tower tidak mencapai standard seperti mana yang diharapkan dan tidak berupaya menjejaki kehebatan novelnya.

FILEM: The Dark Tower

PENGARAH: Nikolaj Arcel

PELAKON: Idris Elba, Matthew McConaughey, Tom Taylor, Claudia Kim, Fran Kranz, Abbey Lee dan Jackie Earle Haley

GENRE: Sains Fiksyen/Aksi/Drama

DURASI: 95 minit

PENGEDAR: Sony Pictures Entertainment

TARIKH TAYANGAN: 3 Ogos 2017

UNTUK mengadaptasi sebuah novel karya salah seorang penulis agung abad ini memang bukan mudah, apatah lagi jika ia mempunyai kumpulan pembaca dan pengikut tegar yang sudah memahatkan imaginasi masing-masing terhadap perjalanan cerita novel tersebut.

Sudah menjadi resmi, apa yang dibayangkan oleh pembaca pastinya tidak akan sama dengan visual yang ditumpahkan oleh penulis lakon layar yang menggalas tanggungjawab untuk merealisasikannya ke layar perak.

Pun begitu, sebagai salah sebuah medium terbaik yang mampu untuk menyihir penonton dengan visual yang memukau, penulis mahupun pengarah telah diberi lesen kreatif yang cukup besar untuk menjelmakan sesuatu di luar imaginasi penonton atau mungkin lebih hebat lagi.

Inilah yang berlaku kepada filem The Dark Tower apabila nasib tidak menyebelahi filem tersebut kerana tidak berupaya mengangkat karya yang dianggap sebagai salah sebuah mahakarya penulis hebat, Stephen King pada tahap yang sepatutnya.

Sementelah selepas beberapa kali projek filem ini gagal direalisasikan sejak lebih sedekad lalu dengan berpindah tangan dari pengarah J.J. Abrams kepada Ron Howard dan kemudiannya kepada Nikolaj Arcel (A Royal Affair, 2012), ramai meletakkan harapan tinggi untuk melihat hasil yang spektakular.

Idris Elba (kiri) dan Tom Taylor dalam salah satu babak filem The Dark Tower.

Apatah lagi, siri novel The Dark Tower (ia memiliki lapan jilid semuanya) bukan karya sembarangan apabila dianggap sebagai antara karya terbaik King dan terus meletakkan penulis itu sebagai salah seorang penulis hebat dalam sejarah.

Justeru, apabila versi filem The Dark Tower tidak mencapai standard yang diharapkan, secara tidak langsung, ia telah memberikan pembelaan yang tidak adil buat King dan pembaca tegar The Dark Tower.

Air tangan Arcel untuk The Dark Tower tidak ubah seperti filem sains fiksyen biasa tanpa visual yang mengagumkan di mana elemen itu sepatutnya dititik beratkan dan menjadi titik fokus untuk genre sedemikian.

Bukan itu sahaja, Akiva Goldsman sebagai peneraju utama dalam penulisan lakon layar The Dark Tower bersama tiga yang lain termasuk Arcel juga tidak berupaya menjadikannya ia sebagai sebuah mahakarya setanding dengan kehebatan novelnya.

Senang cakap, The Dark Tower hanyalah sebuah karya biasa dengan lakon layar yang tidak memiliki momentum serta klimak dengan naratif yang hanya bersifat satu dimensi.

Watak antagonis berjaya dihidupkan oleh bekas pemenang Oscar, Matthew McConaughey dalam The Dark Tower.

Dalam erti kata lain, suntikan jiwanya tidak berupaya membius penonton untuk terus hanyut dengan perjalanan ceritanya.

Pun begitu, penulis tidak menolak untuk mengatakan bahawa ada babak yang mampu membangkitkan perasaan cemas dan menarik minat penulis untuk mengetahui apa yang berlaku pada babak seterusnya.

Biarpun lakon layar The Dark Tower tidak sehebat seperti yang diharapkan, namun, dua pendukung utamanya, Idris Elba sebagai Roland Deschain atau The Gunslinger dan bekas pemenang Oscar, Matthew McConaughey selaku Walter Padick atau The Man In Black sedikit sebanyak telah menyelamatkan filem yang menelan belanja AS$60 juta (RM257 juta) ini.

Elba yang cukup dikenali dengan kehebatannya sebagai aktor berkaliber telah memberikan nyawanya untuk menghidupkan watak The Gunslinger terutama pada babak-babak aksi yang menyaksikan kehebatannya membawakan watak berkenaan.

Sekadar pandangan peribadi penulis, karisma yang dimiliki pelakon British ini telah membuatkannya kelihatan seksi dan memiliki daya penarik dalam The Dark Tower.

Karisma dan pesona Idris Elba sebagai watak protagonis bernama Roland Deschain cukup menyerlah.

Ternyata pemilihan Elba untuk membawakan watak berkenaan adalah tepat walaupun sebelum ini ada yang mempertikaikan pemilihannya.

Membawakan watak antagonis, McConaughey berada dalam liganya tersendiri dan karakternya yang menjengkelkan itu berupaya menimbulkan rasa benci dan geram.

Watak hitam di tangannya boleh dikatakan menjadi dan McConaughey tidak perlu berlebihan untuk menghidupkan wataknya.

Seperkara yang cukup menarik perhatian penulis adalah apabila The Dark Tower turut menyelitkan entiti daripada beberapa novel popular King sebelum ini da hanya mereka yang pernah membaca novel King dan mengikuti perkembangan penulis itu sahaja yang akan perasan dan sedar perkara ini.

Jika mengikut perancangan awal, The Dark Tower mahu dijadikan sebagai sebuah universe atau dunia filem baharu seperti mana francais filem lain tetapi nampaknya, dengan permulaan yang goyah ini memungkinkan hasrat itu bakal terkubur.

Salah satu babak filem The Dark Tower yang menyelitkan elemen daripada novel popular Stephen King, It.

Daripada pembacaan penulis, nasib filem sekuel The Dark Tower masih belum diputuskan memandangkan kutipan tiketnya yang kurang memberangsangkan selain ulasan yang hampir keseluruhannya negatif.

Akan tetapi, dikhabarkan, cerita seterusnya akan dizahirkan dalam siri mini televisyen dan dijangka tayangannya pada 2018.

Penulis berharap sebuah lagi filem adaptasi novel popular King berjudul It yang akan ditayangkan bulan hadapan mampu mengubat kekecewaan penulis yang sememangnya menggemari novel tulisan King.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

>
The Dark Tower

Artikel Lain