suria

Kerugian Besar Untuk ‘47 Meters Down’

Adakah ini babak pengakhiran filem 47 Meters Down? Anda perlu menonton filem ini untuk mendapatkan jawapannya.

Filem: 47 Meters Down

Pengarah: Johannes Roberts

Pelakon: Mandy Moore, Claire Holt, Chris J. Javier, Yani Gellman, Santiago Segura dan Matthew Modine

Genre: Thriller

Durasi: 90 minit

Pengedar: GSC Movies

Tarikh Tayangan: 29 Jun 2017

SEKADAR mahu berkongsi, filem Jaws yang ditayangkan pada tahun 1975 merupakan salah sebuah filem seram terbaik yang pernah dihasilkan dalam sejarah sinema dunia. 

Pada hemat penulis, karya arahan pengarah handalan, Steven Spielberg yang telah mencetuskan fenomena luar biasa pada tahun tersebut berjaya merobah landskap genre seram itu sendiri. 

Jika sebelum itu, filem seram sering menampilkan wajah makhluk yang menyeramkan, penataan seni selain ditambah dengan elemen muzik yang menggandakan perasaan takut itu menjadi pertaruhan, tetapi tidak dengan Jaws

Spielberg bijak mengetengahkan sesuatu yang boleh dianggap baharu ketika itu dengan meletakkan ikan jerung yang saiznya luar biasa sebagai watak antagonis dan titik fokus kepada penceritaan Jaws

Mandy Moore sebagai Lisa dalam salah satu babak filem 47 Meters Down.

Ditambah dengan skor muzik oleh John Williams telah menjadikan Jaws sebagai sebuah filem seram yang berjaya sekaligus diangkat sebagai sebuah karya malar segar sehingga ke hari ini. 

Untuk penulis sendiri, selepas menonton Jaws, impak yang terhasil dalam diri penulis bukan kecil-kecil anak sehinggakan penulis sendiri sewaktu kecil berasa fobia untuk mendekati pantai dan lautan hanya kerana terbayangkan imej yang terhasil daripada Jaws

Lalu, apabila beratus filem selepas Jaws dihasilkan terutama yang meletakkan haiwan pemangsa seperti ikan jerung sebagai pertaruhan, mahu atau tidak, harus diakui, tiada satu pun yang mampu menyaingi kehebatan Jaws (jika ada sekali pun, ia adalah karya yang mudah dilupakan dan merapu). 

Justeru, apabila penulis meluangkan masa menonton filem 47 Meters Down dengan penuh terbuka, penulis mengharapkan sesuatu daripada filem arahan Johannes Roberts (The Other Side of the Door, 2016). 

Sementelah tema dan jalan ceritanya juga berkisarkan tentang situasi cemas yang perlu dihadapi oleh manusia apabila berhadapan dengan ikan jerung di dasar laut membuatkan penulis merasakan premisnya menarik. 

Akan tetapi, selepas satu setengah jam menontonnya, sangkaan penulis ternyata meleset kerana impak yang diharapkan langsung tidak terjadi dan itu adalah satu kerugian yang sangat besar. 

47 Meters Down hanyalah sekadar sebuah filem biasa yang tidak meninggalkan sebarang impak.

Kerugian yang penulis maksudkan itu apabila keseraman dan aksi ngeri yang sepatutnya dirasakan menjadi kosong meskipun babak-babak yang ditampilkan terutama di dasar laut itu mempunyai potensi untuk memberikan impak kepada penonton. 

Walaupun jalan cerita 47 Meters Down sebenarnya cukup mudah dijangka tetapi kelemahan itu sebenarnya mampu ditutupi dengan babak-babak yang dapat menimbulkan rasa cemas dan meresahkan penonton. Paling tidak pun, ketakutan itu mampu membuatkan penonton menutup mata. 

Premis ceritanya senang difahami apabila ia mengisahkan bagaimana dua adik-beradik, Lisa (lakonan Mandy Moore) dan Kate (Claire Holt) meluangkan masa bersama dengan bercuti ke Mexico. 

Dalam masa yang sama, Lisa mempunyai masalah dengan teman lelakinya sehingga mendorong Kate untuk membantu kakaknya dengan membawanya berhibur di kelab malam dan dipertemukan dengan dua lelaki tempatan, Louis (Yani Gellman) dan Benjamin (Santiago Segura). 

Bagi memastikan percutian mereka meninggalkan kenangan terindah, Lisa dan Kate ‘termakan’ dengan cadangan Louis dan Benjamin untuk melihat ikan jerung secara dekat biarpun Lisa berat hati untuk bersetuju pada awalnya. 

Hendak dijadikan cerita, selepas Lisa dan Kate seronok menikmati pengalaman itu, entah bagaimana kren yang menampung sangkar mereka itu secara tiba-tiba putus lalu membawa mereka sedalam 47 meter ke dasar laut.

Bermula daripada situ, pengalaman mereka bertambah ‘menarik’ apabila masing-masing cuba mencari jalan untuk menyelamatkan diri sehingga membawa kepada pengakhiran yang mempunyai corak nada (twist) berbeza. 

Seperti mana yang penulis katakan di awal tadi, 47 Meters Down tidak cukup rencah untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya cemas dan seram walaupun ia memiliki peluang berbuat demikian. 

Selaku penulis, Roberts bersama Ernest Riera tidak bijak memanipulasi momen itu untuk memberikan jiwa yang lebih mendalam bagi filem bercorak seperti ini. 

Seharusnya Roberts dan Riera mencipta sesuatu yang luar biasa terutama pada babak di dasar laut yang barangkali mampu membuatkan penonton berfikir bagaimanakah keadaan mereka seandainya berada dalam situasi yang dialami oleh Lisa dan Kate. 

Salah satu babak filem 47 Meters Down yang kini sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Dalam masa yang sama, jika babak berkenaan diolah dengan sebaiknya, pastinya perasan fobia walaupun sedikit untuk berada di dalam lautan ada di dalam diri penonton jika mereka ada keinginan untuk berbuat demikian selepas ini. 

Secara tidak langsung, penulis terpaksa membuat perbandingan antara filem ini dengan filem The Shallows (2016) lakonan Blake Lively yang penulis sifatkan elemen seram dan cemasnya lebih meninggalkan impak sehingga timbul rasa berdebar menontonnya. 

Kesudahannya, 47 Meters Down menjadi sebuah filem yang hanya dibawa angin lalu dan tidak berupanya menjadi sebuah filem yang mampu dikenang. 

Barangkali ia lebih sesuai untuk diterbitkan dalam bentuk tontonan di rumah (cakera video digital – DVD) seperti perancangan asalnya. 

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

47 Meters Down

Artikel Lain