suria

Aspek Teknikal Tambah Keseraman ‘Annabelle: Creation’

FILEM: Annabelle: Creation Pengarah: David F. Sandberg

PELAKON: Stephanie Sigman, Talitha Bateman, Lulu Wilson, Anthony LaPaglia, Miranda Otto dan Philippa Coulthard.

GENRE: Seram

DURASI: 109 minit

PENGEDAR: Warner Bros. Pictures

TARIKH TAYANGAN: 10 Ogos 2017

BARANGKALI pembikin filem kelahiran Kuching, Sarawak ini tidak pernah menyangka ideanya untuk menerbitkan filem Annabelle pada tahun 2014 akan menjadi fenomena luar biasa.

Mungkin untuk sebahagian daripada peminat filem tegar, idea cetusan James Wan itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan dalam sejarah perfileman dunia, filem tentang tema sedemikian sudah berulang kali dihasilkan.

Pun begitu, melihatkan khalayak filem yang masih belum lelah dahagakan filem seram membuatkan Wan yakin dengan langkahnya sementelah Annabelle juga mencatatkan kutipan pecah panggung yang menjana keuntungan berlipat ganda buat dirinya.

Ditambah pula, Wan sendiri mengarahkan sebuah lagi filem seram yang mendapat perhatian meluas, The Conjuring (2013) dan susulannya, The Conjuring 2 (2016) yang juga mencipta kejayaan serupa seperti Annabelle.

Disebabkan itu, Wan yang boleh penulis anggap sebagai seorang yang bijak dalam liganya tersendiri mahu terus mengukuhkan portfolio seninya dengan mencipta siri filem The Conjuring selaku francais filem seram baharu.

Maka dengan itu, muncullah filem prekuel, Annabelle: Creation yang ternyata cukup dinanti-nantikan oleh sebahagian besar peminat filem seram apabila ia mula ditayangkan pada 10 Ogos lalu dan menjadi filem keempat dalam siri filem The Conjuring.

Sama seperti peminat filem Annabelle yang lain, penulis juga menantikan karya arahan David F. Sandberg (Lights Out, 2016) ini selepas berulang kali dihidangkan dengan gazetnya (Wan masih lagi bertindak sebagai penerbit).

Memandangkan Annabelle: Creation adalah filem prekuel yang menjadi permulaan kepada kisah anak patung berpuaka itu, secara tidak langsung, penulis meletakkan harapan tinggi untuk melihat karya ini menjadi lebih hebat daripada filem asalnya.

Annabelle: Creation bermula dengan cukup baik apabila ia menceritakan dengan jelas kebahagiaan dan kegembiraan kehidupan seorang pembuat anak patung, Samuel Mullins (lakonan Anthony LaPaglia) bersama isterinya, Esther (Miranda Otto) dan satu-satunya anak mereka, Annabelle Mullins atau mesra dengan panggilan manjanya, Bee (Samara Lee).

Semuanya berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah Bee ditimpa kemalangan yang membawa maut lalu merobah kehidupan Samuel dan Esther secara total. Kediaman mereka yang dahulunya ceria bertukar suram lebih-lebih lagi selepas Esther juga berada dalam keadaan kurang sihat.

Demi untuk mengembalikan keceriaan rumah mereka dengan suara anak-anak, mereka dengan penuh terbuka membawa masuk enam orang anak yatim piatu perempuan bersama-sama penjaga mereka yang juga seorang rahib, Sister Charlotte (Stephanie Sigman).

Namun, kegembiraan yang diharapkan itu tidak kekal lama apabila salah seorang kanak-kanak itu, Janice (Talitha Bateman) mula berhadapan dengan situasi pelik dan menyeramkan sehingga dia mengalami tekanan perasaan selepas dia dipertemukan dengan anak patung berpuaka, Annabelle.

Bermula daripada situ, berbagai insiden mula berlaku dan bukan hanya Janice, tetapi ia turut dialami oleh penghuni rumah berkenaan termasuk Samuel dan Esther.

Sebagai sebuah filem prekuel, penulis meletakkan Annabelle: Creation sebagai karya yang dijalin dengan kemas dan teratur lalu melancarkan perjalanannya sehingga berjaya membuatkan penulis tidak langsung berganjak dari tempat duduk.

Pujian harus diberikan Maxime Alexandre selaku pengarah fotografi yang telah memberikan sentuhan ajaibnya untuk sinematografi filem ini dan berjaya menghidupkan Annabelle: Creation untuk menjadi sebuah filem seram dalam acuannya sendiri.

Bukan hanya sudut sinematografi tetapi penataan seninya juga telah memberikan nilai tambah untuk Annabelle: Creation sehingga membuatkan penulis berasa seperti di dalam milieu tersebut.

Dek kerana itu, Annabelle: Creation tidak ubah seperti filem seram dan misteri klasik yang pernah dihasilkan sekitar lima atau enam dekad lalu.

Cuma bezanya, ia dalam bentuk warna dan jika Annabelle: Creation adalah filem hitam putih, penulis percaya ia akan menggandakan lagi elemen seram tersebut misalnya seperti perasaan menonton filem Psycho (1960) atau The Birds (1963).

Akan tetapi, apabila menyentuh tentang ceritanya, penulis sedikit hampa kerana apa yang diharapkan itu tidak mencapai matlamatnya. Bagi penulis, Annabelle: Creation agak mudah dijangka kerana penulis yakin ia sebenarnya mampu menjadi berbeza.

Walau apapun, Annabelle: Creation tidak mengecewakan kerana ia diberikan penambahbaikan untuk menjadi lebih baik daripada Annabelle. Setidak-tidaknya, penonton memahami kisah sebenar Annabelle yang diinspirasikan daripada kisah benar itu.

Apa yang pasti, siri filem The Conjuring tidak akan terhenti di situ kerana dua lagi filem yang mempunyai hubung kait dengan dunia The Conjuring akan menemui peminat kelak sekaligus mengukuhkan lagi francais filem tersebut.

Tahun hadapan, filem The Nun yang mengangkat watak rahib berpuaka, Valak akan menemui penonton manakala sebuah lagi filem, The Crooked Man yang kini masih lagi di peringkat awal pembikinannya.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Annabelle: Creation

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain