suria

'Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium' Sarat Fakta Sejarah

Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium sudah pun berada di pawagam sejak 3 September lalu.

FILEM: Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium

PENGARAH: Mamat Khalid

PELAKON: Ucop Wilcha, Nasir Bilal Khan, Namron, Elizabeth Tan dan Hitler Azmi.

GENRE: Komedi/Seram

DURASI: 90 minit

PENGEDAR: Mountingboard Productions dan Pencil Pictures and Records

TARIKH TAYANGAN: 3 September 2015

AKHIRNYA penantian filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium yang terpalit dengan kontroversi apabila pengarahnya Mamat Khalid dan penerbitnya, Usop Wilcha dikatakan bertegang urat ketika karya itu dihasilkan sebelum ini akhirnya menemui penonton di pawagam sejak 3 September lalu.

Disebalik dakwaan mereka bergaduh sebelum ini, filem tersebut yang membariskan pelakon seperti Usop Wilcha, Namron, Nasir Bilal Khan, Along Ezzendy, Farah Dhiya, Elizabeth Tan dan Hitler Azmi dihasilkan dengan cukup baik oleh pengarahnya.

Dengan sekali imbas penonton akan mengetahui naskah tersebut adalah arahan Mamat yang mempunyai signature tersendiri dalam setiap filem arahannya.

Dari segi teknikal, Mamat berjaya menterjemahkan idea dan skrip yang ditulis Usop dengan baik menerusi visual yang menyakinkan memandangkan ia memaparkan bahan-bahan sejarah.

Pun begitu, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium mempunyai sedikit persamaan dengan karya Hollywood, Night At The Museum menerusi subjek yang diketengahkan sebagai tunjang naskah tersebut.

Antara babak dalam filem berkenaan.

Usop atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri bagaimanapun berjaya menyuntik elemen tempatan dengan caranya tersendiri dalam mencorak perjalanan cerita yang ingin disampaikan kepada penonton.

Masih bertunjangkan kepada genre komedi, filem berkenaan sebenarnya sarat diselitkan dengan pelbagai mesej positif dalam jalan ceritanya.

Tidak ketinggalan ia banyak mengangkat sejarah tentang muzium yang menyimpan pelbagai khazanah negara yang mungkin tidak ramai daripada kita peduli atau mengetahui tentangnya.

Jelas Usop menerusi skripnya cuba memberi penghormatan terhadap fakta-fakta sejarah yang semakin dilupakan generasi muda.

Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium mengisahkan mengenai insiden yang berlaku ketika penganjuran pameran hantu dunia dalam usaha menarik orang ramai untuk datang ke muzium.

Penampilan pertama Elizabeth Tan sebagai pelakon ternyata menjadi.

Namun penganjuran pameran hantu dunia tersebut tanpa disedari dirancang oleh pihak tertentu dalam usaha menghidupkan Count Dracula (Vlad The Impaler) yang pasti akan menyebabkan keadaan negara menjadi huru-hara.

Pun begitu, rancangan licik kumpulan ini disedari patung-patung tokoh lama yang mempunyai semangat memastikan rancangan ini gagal.

Era Perak Man, Sultan Melaka bersama Bendahara Tun Perpatih Putih dan Datuk Maharaja Lela bersama Si Putum dikumpulkan dalam filem ini.

Demi menyelamatkan keturunan anak cicit mereka, masing-masing terpaksa berkomunikasi dengan orang luar yang boleh mereka percayai.

Sehinggalah, Usop Wilcha terperangkap dalam situasi ini apabila secara kebetulan, dia dipanggil untuk membaiki penghawa dingin yang sering rosak.

Antara babak cemas dalam Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

Sementara itu, pertaruhan Usop yang sejak awal mahukan penyanyi Elizabeth Tan berlakon dalam filem berkenaan ternyata berbaloi apabila lakonan wanita itu menjadi biarpun peranannya tidak besar.

Namun sekiranya diberi lebih peluang pada masa hadapan Elizabeth mampu pergi jauh dalam bidang lakonan.

Secara keseluruhannya, Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium menghiburkan selain ia memberi banyak info terutamanya tentang sejarah negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain