suria

'To The Fore' Angkat Nilai Positif Pelumba Basikal

FILEM: To The fore

PENGARAH: Dante Lam

PELAKON: Eddie Peng, Shawn Dou, Si-won, Wang Luodan

GENRE: Aksi Romantik

DURASI: 2 Jam 6 Minit

PENGEDAR: RAM ENTERTAIMENT 

TARIKH TAYANGAN: 6 Ogos 2015

FILEM berunsur sukan bukanlah antara genre popular dan jarang-jarang disajikan kepada penonton. Namun, tidak dinafikan filem sebegitu sedikit sebanyak mampu membangkitkan semangat kesukanan kepada penonton terutama yang sudah lama tidak bersukan.

Dalam filem terbaharu pengarah Dante Lam berjudul To The Fore ia mengangkat sukan berbasikal profesional sebagai subjek utamanya.

Berjaya dengan filem sebelum ini iaitu Unbeatable yang ditayangkan pada 2013 membuatkan karya terbaharu Lam antara yang ditunggu-tunggu tahun ini.

Seperti kebiasaan To The Fore turut memaparkan semangat kesukanan, setia kawan dengan mengetengahkan matlamat yang ingin dicapai oleh tiga watak utama lakonan Eddie Peng sebagai Ming, Choi Siwon (Ji-Won), dan Shawn Dou (Tian). 

Lim juga boleh dipuji berjaya menerapkan pelbagai nilai-nilai positif dalam diri seorang atlet ketika berlumba sehingga ia turut memberi inspirasi kepada penonton.

Tiga watak utama ini diolah dengan karakter berbeza yang mana masing-masing mempunyai arah tertentu untuk dikembangkan menjadi sebuah jalan cerita.

Filem ini menyusuri ketiga-tiga watak yang merupakan jaguh lumba basikal dalam sebuah pasukan bermasalah iaitu Radiant.

Lam berjaya menggarap ketiga-tiga watak ini dengan penuh teliti dan memberi warna berbeza dalam setiap babak yang dipaparkan.

Ketiga-tiga watak protagonis ini mempunyai arah dan matlamat berlainan, ada yang berlumba untuk mencapai kemenangan, malah ada juga yang ingin membuktikan kemampuan peribadi.

 

Watak utama yang dilakonkan Peng sebagai seorang pelumba nakal tetapi komited dengan kerjayanya pasti membuatkan penonton wanita jatuh hati.

Tidak mahu cerita kelihatan mendatar, kisah percintaan dan konflik antara Ming dan teman wanitanya Shiyan lakonan Wang Luodan sedikit merehatkan minda daripada aksi perlumbaan yang berterusan.

Selain itu, Lam turut memaparkan kisah kehidupan seorang pelumba sebagai pengisian kepada jalan cerita seperti isu mabuk, panas baran, cinta dan konflik keluarga.

Tidak dapat dinafikan topik utama iaitu pelumbaan di atas litar yang menjadi kekuatan filem genre aksi ini lebih menjadi perhatian berbanding konflik-konflik lain yang cuba diketengahkan.

Filem To The Fore ditayangkan bermula 6 Ogos lalu boleh dicadangkan sebagai filem pilihan yang wajar ditonton oleh peminat sukan basikal.

To The Fore

Artikel Sebelum

Artikel Lain