suria

Emosi Dalaman Maya Karin Dalam 'Nota'

Maya bergandingan dengan Hans Isaac dalam filem Nota.
FILEM: Nota

PENGARAH: Yasu Tanaka

PELAKON: Maya Karin, Hans Isaac, Ramli Hassan & Rin Izzumi

GENRE: Drama/Thriller

DURASI: 90 minit

PENGEDAR: 42nd Pictures/Empire Film Solution

TARIKH TAYANGAN: 13 Ogos 2015

Persembahan Maya dalam Nota cukup membanggakan.

SUDAH lama aktres Maya Karin tidak muncul dengan filem yang menyaksikan dia membawa watak berat dan mampu mencabar kredibilitinya sebagai pelakon selain Ombak Rindu arahan Osman Ali pada 2011.

Maya bagaimanapun perlu berterima kasih kepada pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka kerana memberi peluang kepadanya untuk memegang watak utama dalam filem terbaharunya, Nota.

Kehebatan Maya sebagai pelakon dalam karya berkenaan tidak menghampakan malah berjaya membawa penonton menyelami wataknya sebagai Erin.

Tanpa dialog yang panjang, Maya berjaya menterjemahkan wataknya sebagai seorang isteri yang tidak bahagia dalam perkahwinannya menerusi emosi dalaman serta bahasa tubuh yang cukup mengagumkan.

Kepahitan dan kesengsaraan menerusi wataknya sebagai seorang isteri yang memendam rasa dan tidak bahagia dalam perkahwinannya terpancar jelas dilayar skrin.

Sinematografi menarik melatari filem arahan Yasu Tanaka ini.

Yasu sebagai pengarah berjaya menggali kebolehan Maya sebagai pelakon dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya dalam memastikan Erin dapat menyentuh perasaan penonton.

Bergandingan bersama Hans Isaac memainkan peranan sebagai suaminya iaitu Kamal juga sepadan dalam ketidakserasian hubungan suami isteri yang dipaparkan dalam Nota.

Dalam pada itu, Yasu selaku pengarah bijak mencorak perjalanan cerita yang turut berkisarkan sebahagian daripada kisah hidupnya sendiri dengan kemas.

Yasu bijak menterjemahkan kisah yang ingin disampaikan yang penuh maksud tersirat dan tersurat menerusi pemain-pemain filem berkenaan.

Aspek yang turut menjadikan Nota sangat indah adalah sinematografinya yang dilakukan secara teliti terutamanya ketika latar di Taman Negara Bako.

Yasu berkata sesuatu kepada Maya ketika menjalani penggambaran.

Pun begitu, Nota juga tidak terlepas daripada kekurangan dan paling jelas jalan ceritanya yang agak perlahan dan ringkas.

Lebih menarik sekiranya pengarah mempelbagaikan plot diketengahkan kerana pada dasarnya ia mudah dijangka bagi sebuah filem dengan genre drama/thriller.

Pun begitu, hasil akhir yang diketengahkan masih membanggakan kerana Nota berjaya menampilkan kelainan dan bukan sebuah karya klise.

Nota mengisahkan mengenai sepasang suami isteri iaitu Kamal (Hans Isaac) dan Erin (Maya Karin) menghadapi masalah rumah tangga kerana ketiadaan zuriat.

Pada ulang tahun kesepuluh perkahwinan mereka, Erin dan Kamal mengambil keputusan untuk bercuti ke Taman Negara Bako, Sarawak yang turut menjadi lokasi sama lelaki berkenaan melamarnya.

Maya menjiwai wataknya sebagai Erin.

Ketika di sana, Erin menemui sehelai nota di mana Kamal meluahkan perasaannya untuk bercerai dan konflik di antara mereka timbul selepas itu.

Sementara itu, penampilan terakhir Allahyarham Ramli Hassan juga tidak menghampakan malah ia meninggalkan kesan cukup mendalam.

Kehadirannya dalam Nota memberikan sisi lain kepada tunjang utamanya selain penggunaan dialek Sarawak yang juga ideanya cukup menarik.

Dikenali sebagai seorang pelakon berkaliber, Ramli jelas tidak mengambil mudah peranannya dalam karya berkenaan yang cukup menyakinkan.

Maya Karin, Hans Isaac, Yasu Tanaka, Nota.

Artikel Lain