suria

'Sabotage' Pamer Kehebatan Arnold Schwarzenegger

FILEM: Sabotage

PENGARAH: David Ayer

PELAKON: Arnold Schwarzenegger, Sam Worthington, Olivia Williams, Terrence Howard, Joe Manganiello, Harold Perrineau.

DURASI: 100 minit

GENRE: Aksi

TERBITAN: Open Road Films

TARIKH TAYANGAN: 3 April 2014


Lakonan mantap barisan pelakon menghidupkan filem Sabotage.

PELAKON terkenal Hollywood, Arnold Schwarzenegger yang kini berusia 66 tahun mungkin sudah termasuk dalam kategori warga emas namun taringnya sebagai seorang pelakon hebat filem aksi dan lasak masih berbisa.

Ini terbukti apabila karya terbaharunya selepas beberapa tahun meninggalkan dunia lakonan iaitu Sabotage mengingatkan penulis tentang siapa Arnold yang kita sanjung menerusi filem seperti Governor dan The Terminator.

Ternyata lakonan adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan Arnold dan keputusan bijak pelakon terkenal itu meninggalkan dunia politik yang diceburinya sebelum ini.

Kemunculannya dalam Sabotage pasti dinanti-nantikan oleh peminat setianya dan Arnold berjaya menzahirkan peranan sebagai penyiasat rahsia bernama John Wharton.

Apa sahaja yang kita boleh bayangkan mengenai lelaki berkenaan apabila tampil dalam filem aksi seperti Sabotage, Arnold memberikan yang terbaik biarpun tidak lagi menayangkan badan sasanya seperti dahulu.

Itu tentang Arnold - Ulasan sebenar filem ini adalah lebih kepada kecelaruan pengarahnya, David Ayer dalam menonjolkan kehebatan yang cuma ada pada tajuknya, Sabotage.

Permulaan filem ini apabila penonton diberi pengenalan mengenai watak John menerusi paparan video seorang wanita yang diseksa oleh sekumpulan penjahat dan pada pengamatan penulis ia mengusarkan kerana ia terus mengasak penonton dengan pelbagai persoalan tentang kaitan wanita dengan lelaki itu.

Sedikit menjengkelkan, video seksaan itu diulang dalam beberapa babak tanpa sebarang klu bagi mengaitkan wanita berkenaan namun itu barangkali cara pengarah bermain dengan perasaan penonton.

Pada pertengahan cerita baharulah peranan wanita berkenaan dapat dibaca oleh penonton dengan jelas dan menangkap apa yang cuba disampaikan oleh David Ayer.

Plot dan sub-plot yang pada mulanya agak bercelaru akhirnya kembali kepada landasannya dan semua kemelut tentang konflik yang cuba ditampilkan mula menampakkan jawapan.

Sabotage mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 3 April 2014.

Sabotage mengisahkan mengenai sekumpulan penyiasat rahsia dituduh mencuri wang tunai berjumlah RM300 juta (USD100 juta) daripada sekumpulan penjahat yang diberkas oleh pihak berkuasa.

Selain disiasat oleh pihak polis, pelbagai kejadian pelik turut menimpa kumpulan penyiasat itu apabila satu persatu anggotanya mati dibunuh kejam dipercayai dilakukan oleh kumpulan penjahat itu untuk membalas dendam.

Selepas dua anggota penyiasat itu mati dibunuh mereka mula ragu-ragu dengan kejadian tersebut dan mula menyiasat tentang apa yang berlaku sehingga membawa pertelingkahan dikalangan ahli kumpulan itu.


Pada masa sama, John terdesak untuk membalas dendam atas kematian isteri dan anak lelakinya dengan apa cara sekali pun sehinggalah dia bertemu dengan seorang pegawai penyiasat polis yang membantunya merungkai semua misteri yang berlaku.

Filem itu turut menampilkan pelakon seperti Sam Worthington sebagai James Murray; Joe Manganiello (Joe Phillips); Terrence Howard (Julius Edmonds); Max Martini (Tom Roberts) dan Kevin Vance (Bryce McNelly).

Sabotage bukanlah sebuah karya hebat seperti mana pernah dihasilkan oleh David namun dia beruntung aura Arnold sebagai tunjak utama menjadi penyelamat kepada keseluruhan filem. Terminator  masih kegemaran penulis!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain