suria

'Pompeii', Karya Hebat Punyai Cacat Cela

FILEM: Pompeii

PENGARAH: Paul W.S. Anderson

PELAKON: Kit Harington, Emily Browning, Carrie-Anne Moss, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Jessica Lucas, Jared Harris dan Kiefer Sutherland.

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Aksi, Romantik

TERBITAN: TriStar Pictures

TARIKH TAYANGAN: 25 Februari 2014

JIKA bercakap mengenai sejarah Pompeii pasti mengingatkan kita kepada bencana yang menimpa kawasan tersebut selepas gunung berapi yang dikenali sebagai Vesuvius meletuskan lava panas sehingga semua penduduk mati dan bertukar menjadi batu.

Sejarah turut menceritakan Pompeii adalah sebuah kawasan penuh dengan aktiviti pelacuran ketika itu selain aktiviti homoseksual berleluasa sekitar abad keenam sebelum Masihi.

Letupan gunung berapi tersebut dipercayai sebagai satu pembalasan kepada masyarakat didiami oleh kaum Osci atau Oscan yang terletak di Itali itu.

Bagaimanapun menerusi versi filem arahan Paul W.S. Anderson bagaimanapun tidak mengikut seratus peratus tentang sejarah sebenar Pompeii sebaliknya mengolah karya tersebut sebagai sebuah kisah pengorbanan seorang hamba yang sanggup mati demi kekasihnya.

Walaupun pada awal penceritaan ada dijelaskan mengenai sejarah Pompeii dengan visual menunjukkan penduduk di daerah itu yang bertukar menjadi batu akibat letusan gunung berapi tersebut namun ia lebih kepada simbolik pengorbanan dan percintaan.

Kit Harington memegang watak sebagai Milo.

Pompeii sejak awal gagal meninggalkan sebarang kesan kepada penonton walaupun mempunyai subjek penceritaan yang baik dan mampu diolah menjadi lebih menarik berdasarkan sejarah asalnya.

Konflik percintaan di antara seorang hamba abdi dan puteri raja yang diketengahkan bagaimanapun sudah biasa ditonjolkan tanpa sebarang keistimewaan membuatkan filem tersebut tidak gah seperti karya lain dengan tema sama.

Olahan penceritaan dan plot ditambah dengan skrip yang lemah menambahkan lagi cacat cela pada filem yang menelan belanja sebanyak RM200 juta itu.

Subjek utama dan tunjang utama filem itu iaitu gunung berapi Vesuvius tidak dieksploitasi sepenuhnya supaya jalan ceritanya lebih menarik dan meyakinkan.

Pompeii mengisahkan mengenai seorang kanak-kanak bernama Milo yang terpaksa hidup berdikari selepas kedua ibu bapanya mati dibunuh oleh tentera Rom.

Kisah percintaan hamba abdi dan puteri raja diangkat dalam filem berkenaan.

Milo turut dijadikan hamba dan terpaksa menjadi ‘gladiator’ bagi berlawan dengan hamba abdi lain bagi meneruskan kehidupan.

Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh Milo selain cintanya terhadap Cassia iaitu anak kepada raja kota Pompeii mendapat tentangan daripada Senator Rom yang ingin berkahwin dengan wanita berkenaan.

Kisah percintaan mereka bertambah tragik apabila gunung berapi di Pompeii tiba-tiba meletus dan pelbagai peristiwa berlaku sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun babak mengenai kehidupan hamba abdi di bawah kerajaan rom ketika itu dipaparkan dengan menarik terutamanya babak pertarungan yang agak mencemaskan.

Babak mengenai hamba abdi berkenaan barangkali penyelamat kepada filem berkenaan secara keseluruhannya.

Lakonan para pelakon juga tidak meyakinkan dan seperti seolah-olah kehilangan sesuatu dalam menzahirkan peranan masing-masing.

Gambaran gunung berapi yang meletus dalam filem Pompeii.

Adegan romantis di antara Milo lakonan Kit Harington dan Cassia (Emily Browning) juga seperti tidak mempunyai rasa hingga menyebabkan ia hampir bosan.

Dalam pada itu, dari segi teknikal filem berkenaan, pengarah berjaya menonjolkan teknik CGI dengan baik terutama ketika babak gunung berapi berkenaan meletuskan lava.

Aspek teknikal lain juga dilakukan dengan kemas sesuai dengan bajet filem berkenaan.

Secara keseluruhannya Pompeii bukan sebuah filem epik yang boleh dibandingkan dengan karya seperti Thor dan Gladiator namun masih boleh ditonton.

Pompeii, Filem, Luar Negara, Review.

Artikel Lain