suria

'Laga' Bukan Sekadar Aksi Ranjang

FILEM: Laga

PENGARAH: Ismail Yaacob

PELAKON: Wan Hanafi Su, Marsha Milan Londoh, Nasir Bilal Khan, Eman Manan dan Syazwan Zulkifly.

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Drama

TERBITAN: Business Leader Film Production

TARIKH TAYANGAN: 23 Januari 2014

FILEM terbaharu arahan Ismail Yaacob iaitu Laga sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila adegan ranjang di antara Marsha Milan Londoh dan pelakon veteran, Wan Hanafi Su diperkatakan biarpun karya itu belum ditayangkan.

Ramai menganggap adegan itu hanya sekadar gimik untuk menarik perhatian pengunjung ke pawagam bagi menyaksikan filem pertama arahan Ismail selepas hampir 15 tahun itu tidak mengarah.

Lenjan adalah filem terakhir yang pernah diarahkan oleh pengarah itu pada tahun 1998.

Bagaimanapun selepas menonton sendiri adegan yang hebat diperkatakan itu, ia tidak seteruk yang disangka malah lebih kepada simbolik kepada kasih sayang suami isteri.

Daripada sudut lakonan, pujian harus diberikan kepada Marsha dan Wan Hanafi Su kerana berjaya menghidupkan adegan tersebut tanpa cacat cela.

Ia barangkali penarik terbaik untuk membolehkan penonton memberi perhatian kepada isu sebenar yang ingin dikupas oleh pengarah iaitu obsesi sesetengah masyarakat Melayu terhadap perjudian sabung ayam.

Ismail berjaya mengolah kisah yang jarang-jarang diberi perhatian itu dengan baik dengan jalan cerita ringkas namun di isi dengan pelbagai sub plot menarik sepanjang filem itu.

Di samping itu juga, lakonan mantap daripada barisan pelakon menghidupkan lagi jalan cerita dengan lebih berkesan.

Laga turut mengaitkan obsesi terhadap perjudian itu dengan permasalahan lain seperti hasad dengki, pergaduhan dan khianat.

Sedikit sebanyak ia berjaya menarik perhatian penonton tentang maksud tersirat yang ingin cuba disampaikan oleh pengarah menerusi penceritaannya tentang kesan ketagihan berjudi sehingga mampu menimbulkan huru-hara dalam masyarakat.

Filem yang telah mula ditayangkan sejak 23 Januari lalu itu turut menampilkan pelakon hebat seperti Eman Manan, Datuk Rosyam Nor, Syazwan Zulkifly dan Nasir Bilan Khan dan pelakon Indonesia, Tyas Mirasih.

Mengisahkan tentang masyarakat di sebuah kampung yang gemar bermain perjudian laga ayam sehingga masa mereka banyak dihabiskan di gelanggang laga ayam.

Bagi mereka, permainan judi laga ayam ini seakan-akan melambangkan maruah diri mereka.

Disebabkan itu juga, Hassan Laga (Wan Hanafi Su) akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gelarannya itu sehingga sanggup mempertaruhkan isterinya iaitu Su (Marsha) kepada orang kaya Dasuki (Nasir Bilal Khan) dalam salah satu perjudian di gelanggang laga ayam.

Kisah bertambah menarik apabila salah seorang pengikut Hassan Laga, iaitu Sabri (Syazwan Zulkifly) jatuh cinta dengan seorang gadis dari Jakarta, Maya (Tyas Mirasih) yang datang ke kampung itu untuk melawat neneknya.

Bagaimanapun, cinta mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarga Maya.

Ismail bertuah Laga mendapat pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan dan Eman Manan dalam filem terbaharunya itu dan sudah tentu lakonan mantap mereka tidak perlu lagi dipertikaikan.

Sementara itu, dari segi teknikal filem ini, walaupun Ismail sudah lama tidak mengarah namun ia dihasilkan dengan cukup kemas dengan menggunakan teknik terkini.

Berlatar belakangkan suasana kampung, Laga berjaya memaparkannya dalam bentuk visual secara berkesan di samping pemilihan lokasi menarik.

Kesimpulannya, Laga adalah sebuah filem yang perlu diberi perhatian bukan hanya kerana kontroversinya tetapi maksud tersirat yang cuba disampaikan menerusi subjek perjudian sabung ayam.


Artikel Sebelum

Artikel Lain