suria

Pendekatan Baharu Dalam 'Cinderella'

FILEM: Cinderella

PENGARAH: Ahmad Idham

PELAKON: Fizo Omar, Nelydia Senrose, Kamal Adli, Fauziah Nawi, Datuk Jalaludin Hassan, Azizah Mahzan, Azlan Komeng

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Romantik

TERBITAN: Exellent Picture Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN: 19 Disember 2013

FILEM berkonsepkan kisah 'Cinderella' telah difilemkan dalam pelbagai bentuk dengan menceritakan tentang cinta antara dua darjat yang sudah begitu popular dan diketahui umum.

Filem Cinderella hasil karya pengarah Ahmad Idham turut dilihat memodenkan cerita klasik ke dalam sebuah kisah dengan pendekatan baharu yang lebih kontemporari.

Tidak lari dengan jalan cerita asal, Ahmad Idham membina struktur naratif filem ini dengan memaparkan seorang gadis teraniaya iaitu lakonan Nelydia Senrose sebagai Nurul dan Fizo Omar sebagai anak orang kaya bernama Salman.

Filem genre romantik ringan ini juga diambil daripada naskhah drama bersiri popular sekitar 90-an yang dibintangi sendiri oleh Ahmad Idham dan Haliza Misbun.

Mengambil jalan cerita yang sudah sedia ada merupakan pendekatan yang mudah bagi penulis skrip atau penerbit, namun jika tiada tafsiran yang berbeza dan olahan yang segar ia hanya sebuah cerita yang membosankan dan sudah dapat dijangka penonton.

Bagaimanpun kata Ahmad Idham, babak dan plot yang diambil tidak melebihi 30 peratus daripada drama asal terbitan Kuasatek Picture itu.

Bagi penonton yang pernah menonton drama bersiri tersebut pasti sudah mengetahui jalan cerita filem ini, cuma apa yang berbeza adalah cara pengakhiran yang sedikit menimbulkan tanda tanya apabila Salman disahkan menghidap HIV positif.

Apa yang cuba disampaikan Ahmad Idham ialah kisah percintaan yang berliku, antara nilai kemanusiaan, kekejaman dan kejujuran serta soal dua darjat keturunan, tetapi akhirnya ditamatkan dengan kegembiraan.

Sementara itu, lakonan daripada pelakon Nelydia Senrose, Fizo Omar dan Kamal Adli berjaya menghayati dan membawa emosi sedih yang cuba disampaikan pengarah.

Biarpun filem pertama lakonan Nelydia, watak air mata yang dibawakannya sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada penonton ketika keluar panggung.

Filem ini berkisarkan 'Cinderella Melayu' yang diwujudkan dari seorang anak tiri di sebuah kampung apabila ditangkap khalwat dengan seorang jejaka yang tidak dikenali dan dibawa balik ke bandar.

Wanita bernama Nurul tinggal bersama ibu tirinya ditangkap khalwat bersama lelaki yang bercuti di pulau tersebut bernama Salman.

Selepas di bawa pulang dan diperkenalkan kepada keluarga, Nurul dianggap sebagai pembantu rumah sehinggalah Salman disahkan membawa virus HIV positif akibat kehidupan sosialnya.

Filem ini berada di pawagam bermula 19 Disember lalu turut bersaing dengan beberapa filem Melayu seperti Paku, Papadom dan Ular.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain