suria

Nilai Persahabatan & Ego Dalam 'Laki-Laki'

FILEM: Laki Laki

PENGARAH: Ahmad Rusli Mohamed Khadri (Ollyn)

PELAKON: Angah Raja Lawak, Zul Suphian, Adey Syafrien, Mie Raja Lawak dan Azrel Ismail

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Komedi

TERBITAN: Metrowealth Pictures

TARIKH TAYANGAN: 19 Disember 2013

LAKI-LAKI sebuah karya yang cukup santai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Diterajui oleh pelakon-pelakon lelaki sahaja, filem ini memberi pengajaran erti persahabatan selain menyampaikan mesej pentingnya kerjasama apabila berada dalam situasi yang sukar.

Sebenarnya apa yang saya lihat filem ini disifatkan sebagai sebuah filem yang 'straight forward'. Jika kita sering menonton drama atau animasi kanak-kanak mengenai pentingnya kerjasama, tetapi Laki-Laki merupakan karya bermesej kerjasama versi dewasa.

Plot ceritanya mudah sahaja. Lima orang lelaki iaitu Razak, Abu, Azman, Samad dan Jerry yang menghadapi masalah masih-masing dipertemukan dalam sebuah tragedi apabila kapal terbang yang mereka naiki terhempas di sebuah pulau terpencil.

Masing-masing dengan keegoan tersendiri, pada mulanya mereka enggan bekerjasama antara satu sama lain dan berasa boleh hidup sendirian sementara menunggu bantuan datang ke pulau tersebut.

Namun, selepas beberapa hari, mereka mula bersatu dan terpaksa menerima keadaan bahawa mereka mungkin akan kekal selamanya tinggal di pulau itu.

Razak, Abu, Azman, Samad dan Jerry mula mengenali latar belakang antara satu sama lain dan mereka menggunakan kepakaran masing-masing dalam melakukan kerja-kerja harian seperti memasak, menangkap ikan, mencari kayu di hutan dan membina pondok.

Walaupun barisan pelakon yang membintangi filem ini tidaklah popular atau dilihat faktor kepada wujudnya nilai komersial bagi memudahkan lagi tarikan orang ramai menyaksikan filem ini, namun harus diakui, lakonan para pelakonnya cukup hebat.

Sebagai orang lama dalam industri, Angah dan Zul memberikan penyampaian lakonan yang sememangnya mantap, apatah lagi dengan lawak-lawak spontan dalam dialog mereka.

Begitu juga dengan Adey, Mie dan Azrel, sebagai pelakon baharu, lakonan mereka boleh memberi kepercayaan penonton untuk menyaksikan filem-filem yang dibintangi mereka pada masa akan datang.

Sementara itu daripada segi pengarahan pula, Ollyn menyampaikan karyanya tanpa kiasan, sebaliknya mesej yang disampaikan juga mudah difahami.

Cuma terdapat sedikit cela daripada segi teknikal kamera di mana beberapa babak yang visualnya terlalu terang (visual burned). Namun ia tidak mencacatkan keseluruhan filem ini.

Secara keseluruhannya, filem ini bukan sahaja boleh ditonton oleh golongan dewasa tetapi juga golongan kanak-kanak.

Artikel Berikut

Artikel Lain