suria

Pengarah Berjaya Tonjol Teknik Pengarahan Menerusi 'Tokan'

FILEM: Tokan

PENGARAH: Ghaz Abu Bakar

PELAKON: Johan As'ari, Pekin Ibrahim, Liyana Jasmay, Sofi Jikan Wan Hanafi Su, Zizan Razak dan Wanna Ali.

DURASI: 1 Jam 30 Minit

GENRE: Aksi/Drama

TERBITAN: Pensil Pictures Sdn. Bhd dan MIG Pictures Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 26 Disember 2013

TIDAK seperti filem pertama arahannya iaitu Hantu Kapcai, pengarah baharu, Ghaz Abu Bakar tidak hanya bersandar kepada karya genre komedi sahaja sebalik telah membuktikan mampu mengarah filem aksi dengan hasil yang cukup membanggakan.

Sinonim sebagai pengarah muzik video, Ghaz tidak mengehadkan kreativitinya dalam berkarya malah filem arahan terbaharunya, Tokan adalah sebuah naskhah yang perlu diberi perhatian.

Tokan yang membawa maksud individu yang mengedar atau menjual dadah ditonjolkan sebagai tema utama filem ini.

Filem aksi itu bukan sekadar bersifat klise seperti kebanyakan filem dari genre sama kerana Ghaz berjaya menghidupkannya dengan pendekatan berbeza dalam menyampaikan tema filem yang mengangkat isu sindiket pengedaran dadah.

Subjek tersebut berjaya diolah dengan baik selain memasukkan beberapa isu berkaitan seperti penagihan dadah dan mangsa keldai dadah di luar negara hingga menjadikan ia menarik dan tidak tertumpu kepada sesuatu perkara sahaja.

Menariknya mengenai Tokan adalah adunan di antara aksi dan elemen drama diadun dengan cukup baik dan memberi rasa lengkap kepada filem itu.

Ghaz juga tidak terlalu mencuba dalam menekankan sesuatu babak dalam Tokan sebaliknya membiarkan ia berjalan seiring dengan plot utamanya dengan lakonan mantap daripada para pelakon.

Malah naratif yang digunakan memberikan ‘mood’ segar diselang-seli elemen komedi yang mengurangkan rasa debar sepanjang menonton.

Pun begitu, kecacatan filem tersebut terletak pada permulaan cerita apabila pergerakannya agak perlahan sehingga menimbulkan kebosanan.

Namun situasi itu tidak lama apabila Ghaz cepat menghidangkan babak-babak aksi dan menjurus kepada keinginan penonton mengetahui dengan lebih lanjut kisah seterusnya.

Dari segi teknikal, pengalaman Ghaz dalam mengarah muzik video sebelum ini banyak membantu apabila setiap babak dijalur dengan kemas seperti kebanyakan filem aksi lain.

Pun begitu, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki pada masa hadapan terutamanya dari segi aspek pertarungan di antara pelakon yang kelihatan agak biasa.

Tokan yang telah menemui penonton di pawagam pada 26 Disember lalu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan Asari, Zizan Raja Lawak, Pekin Ibrahim, Sofi Jikan, dan Liyana Jasmay.

Filem keluaran Pensil Pictures Sdn. Bhd dan MIG Pictures Sdn. Bhd. mengisahkan sindiket pengedaran dadah dan berita kematian Tuan Gan memeranjatkan semua Tokan di Malaysia termasuk Tuan Kamil yang dilakonkan Wan Hanafi Su.

Tuan Kamil adalah Tokan terbesar di Melaka dan mempunyai dua anak perempuan iaitu Suri (Liyana Jasmay) serta Wana (Wanna Ali).

Mat Lobe (Zizan Razak) pula adalah Tokan paling muda di Melaka dan seorang yang kelakar serta suka bergurau selain sering menimbulkan masalah.

Manakala Solihin (Sofi Jikan) seorang yang kreatif dalam proses pembuatan dadah dan dia banyak menghabiskan masa dalam makmal memproses bahan haram itu.

Sementara, Yusof (Pekin Ibrahim) berhijrah ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan sebelum ditawarkan bekerja di sebuah kilang dimiliki Tuan Kamil. Selepas beberapa bulan kerja, Tuan Kamil menganggap Yusof sebagai anak sendiri dan melantik lelaki itu sebagai pegawai peribadinya.

Sepanjang berkhidmat dengan Tuan Kamil, Yusof tidak pernah terbabit dalam kejadian tidak diingini sehingga terjumpa dengan Rano (Johan As'ari).

Selain melakukan kerja sebagai pembunuh upahan, Rano turut menyimpan dendam terhadap Tokan di negara ini berikutan adik perempuannya ditangkap kerana menjadi keldai dadah di Brazil.

Dari segi lakonan, Ghaz berjaya membentuk setiap karektor setiap pelakon berbeza dan tidak dibayangi di antara satu sama lain untuk menghidupkan lagi jalan cerita yang ditampilkan.

Malah percubaan Zizan berlakon watak serius turut menjadi walaupun dia tetap menyelitkan unsur komedi dalam peranannya dan begitu juga Pekin yang berjaya menyerlahkan watak Yusof dengan baik.

Penonton akan terkejut dengan transisi watak Yusof pada akhir filem tersebut yang pada awalnya sangat tenang berbanding peranan lakonan Sofi Jikan iaitu Solihin yang pada pengamatan paling menonjol dalam karya ini.

Tokan, Zizan Razak, Liyana Jasmay, Filem.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain