suria

Tiga Cerita Dalam 'Kolumpo' Sentuh Perasaan

Kolumpo telah pun berada di pawagam sejak 5 Disember lalu.
Kolumpo telah pun berada di pawagam sejak 5 Disember lalu.
Kolumpo telah pun berada di pawagam sejak 5 Disember lalu.

FILEM : Kolumpo

PENGARAH : Bront Palarae, Rozi Izma dan Sheikh Munasara

PELAKON : Sharifah Amani, Azad Jazmin, Ruminah Sidek, Nell Ng, Mano Maniam dan Amirul Ariff

DURASI : 1 Jam 30 Minit

GENRE : Drama

TERBITAN : Grand Brilliance Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN : 5 Disember 2013

SUDAH agak lama filem yang menggabungkan semua kaum di Malaysia tidak diangkat kepada penonton dengan garapan cerita yang berbeza selepas pemergian pengarah terkenal, Allahyarham Yasmin Ahmad empat tahun lalu.

Legasi yang ditinggalkan oleh Yasmin cukup memberi kesan kepada industri perfileman dan karya-karyanya seperti Sepet, Mukhsin dan Mualaf adalah peninggalan terbaiknya.

Filem Kolumpo arahan tiga pengarah muda berbakat besar iaitu Bront Palarae, Rozi Izma dan Sheikh Munasar yang menampilkan kisah mengenai pelbagai kaum di Malaysia akhirnya dapat mengingatkan penonton kepada karya arahan Yasmin yang cukup sinonim dengan penyatuan kaum.

Menariknya mengenai filem ini, ia bukan sekadar menampilkan tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India tetapi dengan berlatar belakangkan kehidupan di Kuala Lumpur ia membawa penonton melihat sisi berbeza kota metropolitan itu.

Ketiga-tiga pengarah memaparkan realiti yang jarang diberi perhatian oleh kebanyakan daripada kita sehingga berjaya meresap ke dalam perasaan penonton menerusi kisah yang disampaikan.

Idea untuk menggabungkan ketiga-tiga cerita pendek menjadi sebuah filem barangkali kaedah terbaik untuk Kolumpo kerana ia membuka lebih banyak ruang dan idea kepada pengarah untuk mengembangkan kisah tentang Kuala Lumpur.

Walaupun setiap kisah tidak mempunyai kaitan di antara satu sama lain namun jaluran setiap cerita memberi kesan kepada jiwa.

Selaku pengarah mereka mempunyai pemikiran selari untuk menjalinkan tiga kisah berbeza dan meletakkan tanda dalam ruang masing-masing.

Bront mempersembahkan kisah pekerja asing dari India, Rozi pula mengheret gadis Cina ke dunia wanita Melayu warga emas yang separuh waras manakala Syeikh Munasar pula menghadirkan pertembungan hubungan dua remaja berbeza pemikiran.

Kisah imigran India dijayakan berkesan oleh pelakon utamanya, Ezad Jazmin yang melakonkan watak Rahul bersama pelakon legenda, Mano Maniam dan Radhi Khalid.

Sementara itu, kisah pergolakan perasaan seorang gadis Cina terhadap kehidupan peribadi dan keluarganya dipertontonkan oleh karakter Gienna yang dilakonkan oleh Nell Ng berpadu tenaga dengan lakonan wanita penghidap Alzhemier, Nek Wok, lakonan Ruminah Sidek.

Kisah ketiga pula dijayakan oleh kolaborasi pelakon baharu, Amirul Ariff bersama Sharifah Amani yang menceritakan perubahan landskap hidup seorang remaja lelaki yang bergelut dengan identiti dirinya sendiri.

Malah, ketiga-tiga pengarah turut menitik beratkan faktor sensitiviti apabila filem itu membabitkan tiga kaum berbeza iaitu Melayu, Cina dan India.

Kolumpo terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. turut membabitkan beberapa penampilan khas antaranya Sofi Jikan, Sabri Yunus, Rosnah Mat Aris, Azhan Rani, Nadia Aqilah, Sara Ali, Farid Kamil, Remy Ishak dan Nam Ron.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain