suria

'Zombi Kilang Biskut' Masih Kekalkan Komedi Gaya Mamat Khalid

FILEM: Zombi Kilang Biskut

PENGARAH: Mamat Khalid

PELAKON: Awie, Shy8, Soffi Jikan dan Man Kadir

DURASI: 1 Jam 50 Minit

GENRE: Komedi, Seram

TERBITAN: Enjit Semut Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN: 20 Mac 2014


KARYA terbaharu pengarah filem Mamat Khalid berjudul Zombi Kilang Biskut menjadi taruhan selepas filem-filemnya sebelum ini Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon & Jin Pakai Toncet berjaya mencuri perhatian penonton filem Melayu.

Masih mengekalkan latar belakang penduduk Kampung Pisang, filem Zombi Kilang Biskut membawa mesej dan kritikan sosial tersendiri. 

Tajuk yang pelik dan kelakar serta jalan cerita berkonsepkan jenaka gaya Mamat Khalid memberi kesan tersendiri kepada peminat-peminat filem arahan pengarah ini.

Seperti biasa, Mamat menyerahkan kepada penonton sendiri untuk mentafsir kritikan sosial yang disuntik dalam filem komedi tersebut.

Zombi Kilang Biskut masih mengekalkan empat teraju utama filem Zombi Kampung Pisang iaitu Awie (Husin), Shy8 (Usop Wilcha), Soffi Jikan (Sofi) dan Man Kadir (Pak Jabit).

Sementara beberapa pelakon lain daripada filem Hantu Kak Limah Balik Rumah seperti Delimawati (mendukung watak Lemi Pamoga), Dayana (Sofea), Syuk Balas (Abang Din), Abu Mamu (Amran), Adam Khalid (Anak Si Mamat), Adam AF dan Eina Azman (Kamariah/ Puntianak).

Zombi Kilang Biskut mengisahkan seorang pemuda bernama Husin yang menerima perlawaan seorang penduduk kampung iaitu Abang Din Mamu untuk bekerja di kilang biskut di Kampung Pisang.

Husin bersetuju untuk bekerja di kilang biskut tersebut dengan menggalas tanggungjawab sebagai seorang juruteknik bersama Wahab B.

Di kilang tersebut, Husin bertemu rakan sekampungnya iaitu Usop, Deris dan Mat Karan. Mereka menyelongkar misteri kemunculan zombi yang menganggu di kawasan kilang terbabit.

Tidak cukup dengan itu, pada masa yang sama, kampung tersebut juga digemparkan dengan kehadiran pontianak bernama Kamariah yang mahu membalas dendam terhadap kematiannya.

Bagaimanapun, pontianak yang bertujuan membalas dendam terhadap kematiannya itu sebenarnya tersilap kampung.

Dalam filem ini, Mamat dilihat membuat percubaan baharu iaitu dengan memasukkan babak aksi pertarungan antara manusia dengan zombi.

Namun, babak pertarungan yang terlalu lama membuatkan penonton bosan dan hilang fokus terhadap filem tersebut.

Daripada segi jenaka yang ditonjolkan, tidak banyak yang boleh dipuji dan kebanyakkan lawak sudah mampu dijangka penonton.

Ada antara lawak yang telah diguna pakai dalam filem-filem sebelum ini.

Sementara di sudut perwatakkan, hanya watak Usop Wilcha yang dikembangkan dan diberi penekanan.

Walaupun masih menggunakan bahasa badan serupa dengan lenggok tangan melambai-lambai, perkembangan watak itu dihubungkan dengan kisah pemburuan puntianak yang mengganas membunuh penduduk di kampung tersebut demi mencarinya.

Filem Zombi Kilang Biskut berada di pawagam tanah air bermula 20 Mac 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain