suria

Mamat Khalid Bawa Kelainan Dalam 'Apokalips X'

Apokalips X sudah mula berada di pawagam sejak 3 April lalu.
FILEM: Apokalips X

PENGARAH: Mamat Khalid

PELAKON: Farid Kamil, Pekin Ibrahim, Adam (AF), Dazrin Kamaruddin, Jehan Miskin, Iqram Dinzly.

DURASI: 90 Minit

GENRE: Aksi/Fiksyen

TERBITAN: Tayangan Unggul / Astro Shaw Sdn Bhd

TARIKH TAYANGAN: 3 April 2014

Filem arahan terbaharu Mamat Khalid ini menampilkan jalan cerita unik dan berbeza daripada karya-karya terdahulunya.

BAGI penggemar-penggemar filem arahan pengarah terkenal, Mamat Khalid pasti sudah terbiasa dengan kisah komedi santai yang ditampilkan seperti filem Man Laksa, Kala Bulan Mengambang, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Gaya pengarahan bersahaja selain mengetengahkan tema ringan yang dekat dengan penonton tidak pernah gagal untuk menarik perhatian peminat memenuhi pawagam.

Formula itu juga membuatkan karyanya sentiasa mendapat perhatian dan ikutan selain mencapai kutipan box-office di pawagam.

Itu cerita dahulu - Mamat kini kembali dengan buah tangan terbaharu dan pada pandangan penulis akan mengejutkan para peminat setianya kerana ia jauh berbeza daripada kebiasaan yang pernah ditampilkannya.

Mamat tampil dengan sebuah filem berlandaskan pengaruh kuat daripada komik dan novel grafik yang popular dikalangan anak muda zaman ini.

Apokalips X juga begitu kuat bertunjangkan kepada fantasi dan fiksyen Mamat sehingga ada di antara plot dan babak dalam filem berkenaan menjangkau pemikiran biasa bagi seorang pengarah yang terkenal dengan filem komedi.

Filem berkenaan bukti Mamat bukan sekadar hebat menerusi sesuatu genre sahaja sebaliknya mampu mencipta karya berbeza dalam usaha memberi kelainan pada filem tempatan.

Antara babak menarik dalam Apokalips X.

Kekuatan Apokalips X sudah tentu kepada grafik dan teknik imej janaan komputer (CGI) yang digunakan bagi merialisasikan idea asal daripada komik grafik dan 'manga' dalam bentuk visual.

Tidak hairan Mamat mengambil masa selama empat tahun menyiapkan filem berkenaan kerana hampir 70 peratus karyanya itu disaluti dengan teknik kesan khas yang pada pandangan kecil penulis, mengagumkan.

Biarpun terdapat cacat-cela pada grafik yang ingin ditonjolkan namun usaha daripada Mamat yang bukanlah seorang pakar dalam bidang CGI harus diberi pujian.

Apokalips X membariskan barisan pelakon seperti Farid Kamil, Jehan Miskin, Peter Davis, Zoee Tan, Vassan, Adam AF, Iqram Dinzly, Pekin Ibrahim, Miera Leyana, dan Dazrin Kamarudin.

Ia mengisahkan mengenai sekumpulan anak-anak muda yang membesar tanpa bimbingan yang betul dan telah berpecah kepada lima puak iaitu Merah Putih diketuai X (Farid Kamil), Taring Led yang dipimpin Sri Gala (Peter Davies), Flora diketuai oleh Kulat (Zoe Tan), Teratai diketuai Melur (Vasanth) dan Jengking diketuai oleh Y (Jehan Miskin).

Perjuangan mereka dalam usaha menegakkan keamanan menerusi perjanjian damai biarpun menyedariada dendam di kalangan mereka sehingga wujud pelbagai konflik.

Dalam pada itu, penceritaan yang ditampilkan Mamat dijalur dengan baik biarpun terdapat pelbagai persoalan yang ditimbulkan dan dijadikan tanda tanya kepada penonton.

Menyentuh mengenai aspek lakonan barisan pelakon filem berkenaan, Mamat bertuah kerana mendapat barisan pelakon yang mantap dan berkaliber untuk memastikan semua gambaran asal dapat diterjemah dengan baik.

Terdapat jalinan dan aura yang baik di antara pelakon biarpun ada di antara mereka wajah baharu dalam bidang lakonan dan kekuatan itu menghidupkan lagi filem itu.

Disebalik fantasi dan fiksyen yang sarat ditonjolkan dalam Apokalips X, Mamat juga tidak lupa untuk menyelitkan beberapa nilai moral supaya pada akhirnya penonton bukan sahaja dapat berhibur tetapi membawa pulang pengajaran berguna secara tidak langsung.

Apokalips X, Mamat Khalid.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain