suria

Suami pelakon Azar Azmi mengaku tidak bersalah, mohon ikat jamin dikurangkan... Tanggung 9 anak dan isteri

Tertuduh dibawa Mahkamah Seremban pada Rabu.

SUAMI kepada pelakon Azar Azmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu dua mangsa melibatkan urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan. 

Tertuduh, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli di Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu. 

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.

Transaksi itu bagi tujuan mendapat tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.

Pelakon wanita dan suaminya sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes penipuan. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd. Zainal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Saya ada sembilan anak yang perlu tanggung dan isteri suri rumah serta menjaga ibu,” kata tertuduh.  

Mahkamah Sesyen kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin bukan isteri beserta syarat tambahan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pelakon wanita, suami ditahan lagi… Kali ini kes pelaburan lembu 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon wanita, suami turut disiasat kes tipu tawaran darjah kebesaran

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat pembayaran wang sebanyak RM23,120 untuk urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 sebelum Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan sebutan semula pada 15 April.

Sebelum ini tertuduh bersama isterinya yang juga merupakan seorang pelakon direman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan urusan penjualan tanah membabitkan kerugian RM1.5 juta. 

Satu laporan lain juga dibuat terhadap pasangan berkenaan atas dakwaan penipuan darjah kebesaran negeri kononnya membawa gelaran Datuk.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain