suria

Kenyataan Fikry Ibrahim bercanggah dengan prosiding mahkamah, nak berdamai atau sebaliknya? - Peguam

Kenyataan Fikry berhubung isu rumah tangga menimbulkan kekeliruan.

PEGUAM syarie yang mewakili Siti Khalizah Alihan iaitu Wan Muhammad Afiq Mohd Razib, menegaskan tiada sebarang permohonan untuk menarik balik tuntutan cerai yang difailkan isteri kepada pelakon dan pengacara Fikry Ibrahim, seperti yang didakwa selebriti itu. 

Menurut Wan Muhammad Afiq, kenyataan Fikry itu bercanggah dengan prosiding sebenar di mahkamah.

Jelas peguam itu, sekiranya penarikan balik dibuat maka tiada tarikh tangguhan akan ditetapkan oleh pihak mahkamah. 

“Pihak mahkamah memberikan tempoh yang panjang untuk berdamai. Sebenarnya kalau ia ditarik balik, maka tiada tarikh tangguhan dan mahkamah pun tidak akan menetapkan tarikh tersebut.

Afiq (bersongkok) mewakili Khalizah di mahkamah. 

“Kami mohon tarikh selanjutnya adalah untuk menunggu pendirian atau jawapan dari pihak plaintif (Fikry). Kalau kami tarik balik semalam maka selesailah.

“Jadi tiada permohonan tarik balik dibuat semalam (Khamis). Betul apa yang pihak media laporkan semalam dan saya pun takkan nak memaklumkan perkara yang bertentangan,” katanya.

Wan Muhammad Afiq berkata, selama ini anak guamnya menunggu pendirian Fikry untuk berdamai atau sebaliknya. 

Bagaimanapun kegagalan Fikry untuk menghadirkan diri ke mahkamah membuatkan kes penceraian mereka ditangguhkan sehingga mendapat kata sepakat bagi kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Fikry Ibrahim nafi bakal bercerai, dedah isteri ke mahkamah untuk tarik balik permohonan 

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan pulih semula, netizen syak isteri Fikry Ibrahim merajuk dan ikut emosi hingga fail cerai

“Kami semua memang tunggu pendirian Fikry sama ada dia bersetuju atau tidak untuk berdamai sebab pada dasarnya anak guam kami nak berdamai. Jadi kami mahu tahu pendirian dia tentang perkara itu.

“Dia pun tak datang semalam jadi tak bolehlah beri jawapan balas. Nak berdamai mungkin ada terma-terma yang perlu diikuti atau boleh berbaik kembali,  sebab itulah kita perlukan pendirian dan jawapan. 

“Disebabkan dia tak datang jadi kami tak tahu pendirian dia dan sebab itulah mahkamah bagi tarikh tangguhan,” jelasnya.

Pada pagi Khamis,Wan Muhammad Afiq memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian disebakan pasangan tersebut sudah tiada persefahaman. 

Betul apa yang pihak media laporkan semalam dan saya pun takkan nak memaklumkan perkara yang bertentangan

WAN MUHAMMAD AFIQ MOHD RAZIB

PEGUAM 

Peguam syarie itu juga berkata prosiding kes cerai antara Fikry bersama Khalizah akan bersambung pada 10 September depan untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak berdamai.

Bagaimanapun, Fikry pada sebelah malam pula mendakwa isterinya hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bertujuan menarik balik permohonan cerai yang difailkan Mei lalu.

Isu rumah tangga Fikry dan Khalizah menjadi bualan ramai apabila isterinya itu hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada pagi Khamis bagi sebutan pertama permohonan cerai yang dibuat.

Ketika siaran langsung program Melodi, Fikry yang bertindak sebagai pengacara menafikan berlaku masalah dalam rumah tangga mereka. 

Fikry memaklumkan dia dan isteri masih bahagia. 

Sebaliknya kehadiran isteri ke mahkamah adalah bertujuan membatalkan semula permohonan cerai. 

Permohonan cerai berkenaan difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod, Fikry dan Khalizah berkahwin pada 12 Februari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain