suria

Amir Jahari tak izin lagu ‘Hasrat’ digunakan tujuan politik, pengurus minta MP Masjid Tanah padam video 

Amir Jahari tak izin lagu Hasrat digunakan untuk tujuan politik.

PENYANYI dan komposer Amir Jahari tidak mengizinkan lagu nyanyiannya yang juga runut bunyi filem Imaginur berjudul Hasrat digunakan untuk sebarang agenda politik.

Amir, 31, berkata, ini termasuk untuk sebarang agenda yang boleh menyemarakkan kemarahan orang lain.

"Aku tak izinkan kau guna lagu aku untuk agenda politik. Kau boleh pakai, tapi aku tak izinkan, pandai-pandai jawab dalam kubur nanti.

"Untuk kalian semua nak guna lagu OST Imaginur Hasrat, saya izinkan selagi bukan untuk agenda politik dan bukan untuk menjadi batu api," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Amir Jahari 33

Pengurus Amir turut meminta Mas Ermieyati memadam video berkenaan.

Amir meluahkan perkara itu selepas muncul sebuah video yang dimuat naik oleh ahli parlimen Masjid Tanah iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menghimpunkan visual bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadapkan ke mahkamah pada pagi Jumaat.

Menerusi video tersebut turut dihimpunkan visual solidariti penyokong terhadap Muhyiddin dengan menggunakan lagu Hasrat sebagai latar belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton menangis dengar OST ‘Imaginur’... Amir Jahari cerita di sebalik maksud lagu ‘Hasrat’

ARTIKEL BERKAITAN: Lupa diri ketika hidup senang... Amir Jahari tukar nama ‘Hamba’ kerana tekanan hidup, diuji masalah kewangan

Susulan itu, pengurus kepada Amir iaitu Joe Lee menggesa Mas Ermieyati memadam video berkenaan kerana tidak mendapat keizinan menggunakan lagu Hasrat.

Joe dalam ciapannya meminta hak cipta sesuatu karya dihormati dan sekiranya Ermieyati enggan menurunkan video tersebut tindakan seterusnya akan diambil.

"Kepada @emysamsudin, bagi pihak @amirjaharimuzik sila padamkan video ini dengan penggunaan tak berizin dari penulis lagu, lirik dan penyanyi Hasrat iaitu @amirjaharimuzik.

"Saya minta cara elok, sebelum saya ambil tindakan seterusnya. Hormati soal hak cipta pemilik karya," tulisnya di Twitter.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain