suria

“Takkanlah saya cari makcik”- Nubhan rasa lucu dituduh kena sihir hingga bercinta dengan wanita lebih tua, hanya kawan rapat 

Wanita tersebut hanyalah kawan kepada Nubhan.

PENYANYI Nubhan tampil meleraikan spekulasi yang mendakwa dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita yang dikatakan lebih berusia.

Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahmad, 40, ketika dihubungi mStar berkata, wanita yang muncul dalam hantaran di Instagram miliknya itu bukanlah kekasih hati, sebaliknya hanya kenalan rapat.

Malah Nubhan mendedahkan bahawa mereka sudah lama berkawan dan sering menghabiskan masa bercuti bersama-sama.

Nubhan bercuti bukan berseorangan. 

"Itu kawan lama saya. Kami memang sudah lama berkawan dan memang selalu pergi bercuti bersama-sama. 

"Lagipun, bukannya saya pergi berdua dengan dia sahaja, ramai lagi kawan-kawan yang ikut. Setiap kali saya buat hantaran dengan wanita lain, mesti ada sahaja yang akan gosipkan," katanya. 

Mengulas mengenai reaksi melampau netizen yang mendakwa dirinya terkena buatan orang, Nubhan berkata dia hanya mampu ketawa membaca komen-komen tersebut.

"Saya gelak sahaja baca semua itu sebab kelakar sangat. Takkanlah saya mahu cari yang makcik kan? 

ARTIKEL BERKAITAN: Foto dengan wanita undang kecaman, netizen suruh Nubhan ‘berubat’ 

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan ikut cita rasa anak, tak kisah belanja besar buat persiapan raya

"Kawan saya itu pun okay sahaja. Tidak terasa, malah dia gelak besar dengan saya bila baca komen-komen netizen," ujarnya. 

Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini menegaskan bahawa fokus utamanya ketika ini adalah terhadap kerjaya dan perniagaan, bukannya mencari pasangan hidup baharu. 

"Janganlah berkata jahat. Saya juga bebas untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Lagipun, saya memang tidak terfikir nak bercinta. 

"Sekarang ini ada banyak benda yang saya fikir, antaranya adalah kerjaya dan perniagaan," ujarnya. 

Nubhan hanya mahu fokus kepada perniagaan dan kerjaya. 

Sebelum ini hantaran Nubhan mengenai percutiannya di Vietnam mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen sehingga mengundang pelbagai spekulasi.

Nubhan dilihat memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan dirinya bersama seorang wanita. 

Menerusi tinjauan di ruangan komen, rata-rata netizen mendakwa wanita berkenaan kelihatan jauh lebih berusia sehingga ada yang membuat tuduhan melampau kononnya penyanyi itu telah disihir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain