suria

Kieran tegur cara penyampaian deejay radio, anggap penggunaan ‘aku, kau, korang’ tidak sesuai ketika bersiaran

Kieran menegur cara penyampaian segelintir penyampai radio.

PENYAMPAI radio, Kieran menegur cara penyampaian segelintir penyampai baharu yang didakwa gemar membahasakan diri  seperti aku, kau dan korang ketika bersiaran.

Kieran atau Maskiran Jakiran, 51, berkata penggunaan bahasa sedemikian kurang sesuai untuk siaran radio kerana tugas penyampai bukan sekadar berbual dengan rakan penyampai di studio, sebaliknya turut berkomunikasi dengan pendengar.  

Kata Kieran, dia pernah menegur situasi satu ketika dahulu namun menerima respons sinis oleh seorang penyampai radio. 

Perkongsian Kieran yang dimuat naik di Threads miliknya.

Perkongsian Kieran yang dimuat naik di Threads miliknya.

"Nak dijadikan cerita fasal isu ini saya pernah tegur dulu di Facebook tak silap (masa itu saya berhenti full time radio). 

"Tapi ada balasan daripada penyampai yang masih aktif bertugas katanya itu style lama  (mungkin sebab dia kelakar kot). Saya jadi pendengar pun tak berapa gemar dengan aku, kau, korang ni. Tak best. 

"Bila penyampai berborak di konti tak kisahlah berdua, bertiga atau lebih jangan lupa kamu berborak untuk pendengar sebenarnya," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Kieran kembali ‘on air’, hati berbunga dapat sambutan pendengar

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu pura-pura kuat lawan kanser, Kieran semakin sihat selepas jalani kemoterapi

Kieran berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya. 

Dalam pada itu, Kieran turut berkongsi pengalaman ketika mula menyertai industri radio pada penghujung 1990-an. 

Kongsinya, penggunaan kata ganti diri seperti aku dan kau sememangnya tidak dibenarkan ketika ke udara.

"Ketika saya mula sertai industri radio pada tahun 1999, memang kami tidak dibenarkan guna perkataan tersebut ketika on air (waktu itu saya sebagai ground crew). 

"Kemudian bila dah jadi penyampai radio (2003) sama saja. Tak boleh guna juga (aku, kau) terutamanya bila berborak dengan pendengar di udara. Sepanjang saya ke udara di beberapa buah stesen radio sentiasa ada partner (rakan kerja). 

Kieran menganggap penggunaan kata ganti diri

Kieran menganggap penggunaan kata ganti diri "aku, kau, korang" adalah tidak sesuai.

"Antara kami pun tak ada guna aku, kau, korang ni (mungkin ada sesekali terlepas). Selalu guna bro, wak (panggilan AG) atau sebut nama terus," ujarnya. 

Untuk rekod, Kieran pernah menjadi penyampai di beberapa stesen radio tempatan, antaranya Era FM dan Hot FM.

Kemudian, selepas hampir 10 tahun meninggalkan dunia penyiaran, dia kembali ke udara sebagai penyampai di Kool 101 pada tahun 2025.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain