suria

Darah beku di saluran utama otak, Shamsul Ghau Ghau jalani pembedahan major… “Lebih risau dia tunjukkan tanda lupa ingatan”

Isteri berkongsi perkembangan terkini Shamsul.

PROSEDUR membuang darah beku pada bahagian kiri otak yang dijalani pelakon dan pengacara, Shamsul Ghau Ghau, disifatkan sebagai pembedahan major berikutan kedudukannya yang berada di saluran utama serta bersaiz besar.

Isterinya, Sharifah Azrinah, berkata doktor memaklumkan keadaan berkenaan sepatutnya dirawat dalam tempoh empat jam selepas serangan strok berlaku.

“Doktor kata ia kes major kerana darah beku berada di saluran utama dan bersaiz besar. Sepatutnya prosedur ini perlu dilakukan dalam tempoh empat jam selepas serangan berlaku, tetapi disebabkan kami sendiri tidak tahu bila ia bermula, jadi agak sukar untuk menjawab pertanyaan doktor.

Shamsul kini masih dalam pemantauan selepas jalani pembedahan. 

“Alhamdulillah, selepas prosedur dilakukan pada jam 6 petang semalam, dia sudah boleh mengenali orang sekeliling dan siap memanggil tetamu yang datang menziarahinya. Cuma keadaannya masih lemah dan perlu dipantau,” katanya kepada mStar.

Ditanya mengenai detik awal kejadian, Sharifah Azrinah berkata perubahan pada keadaan suaminya mula disedari pada malam Jumaat apabila jari tangan Shamsul tiba-tiba menguncup dan menjadi lemah.

“Pada malam Jumaat saya perasan jari tangannya menguncup sehingga perlu bantuan untuk mengangkat barang kerana tangannya tiba-tiba menjadi lemah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya okay” — Shamsul Ghau Ghau tersenyum selepas selamat jalani pembedahan, sempat kongsi tanda ‘mini love’ 

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa cari RM25,000, isteri terharu terima bantuan rakan artis… Shamsul Ghau Ghau kini dalam keadaan stabil

“Apabila saya nampak keadaan itu, saya sudah tergerak hati mungkin suami terkena serangan strok. Namun tidak lama selepas itu, keadaan tangannya kembali normal, cuma dia ada beritahu tangannya berasa lain,” katanya.

Keadaan itu bagaimanapun berlarutan apabila Shamsul menunjukkan kesukaran untuk berkomunikasi dengan jelas.

“Malah apabila saya berbual dengannya, dia seperti tidak boleh menjawab. Keesokan harinya saya membawanya ke klinik kerana mengalami batuk. Lebih membuatkan saya risau apabila dia menunjukkan tanda-tanda lupa ingatan. Dia tidak boleh memberi respons terhadap soalan yang ditanya oleh doktor.

Cuma keadaannya masih lemah dan perlu dipantau

SHARIFAH AZRINAH 

ISTERI SHAMSUL GHAU GHAU 

“Sampai di hospital, ketika doktor membuat pemeriksaan dia masih tidak dapat menjawab berada di mana, dan doktor terus melakukan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Keputusannya menunjukkan terdapat darah beku di bahagian otak kiri,” katanya.

Tambahnya, beberapa rakan di set penggambaran menyedari perubahan pada keadaan Shamsul, namun menyangka suaminya sekadar kurang sihat.

Shamsul bersama isteri dan anak-anak ketika di hospital. 

“Ketika berada di set penggambaran, ada yang perasan keadaannya seperti tidak okey, tetapi mereka hanya fikir suami kurang sihat dan memberi kelonggaran untuk berehat,” katanya.

Semalam, mStar melaporkan Shamsul terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang, selepas mengalami pendarahan beku pada bahagian otak.

Perkara itu dikongsikan oleh aktres Sheila Mambo selepas menerima berita daripada isteri Shamsul sendiri, selain memaklumkan keperluan bantuan kewangan sebanyak RM25,000 bagi menanggung kos pembedahan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain