SEDAR namanya masih belum dikenali ramai, juara program realiti One In A Million (OIAM), Marygrace tidak melihat perkara itu sebagai satu kegagalan, sebaliknya sebahagian daripada proses yang perludilalui setiap anak seni.
Marygrace atau Marygrace Jane Penserga, 24, berkata dia memilih untuk kekal tenang dan sabar sambil terus berusaha memperbaiki diri serta menunggu masa yang tepat untuk kerjayanya berkembang.
Kata Marygrace, dia percaya kejayaan tidak datang dalam sekelip mata dan menjadikan penyanyi Aisha Retno sebagai contoh artis yang berjaya membina nama melalui kesabaran dan konsistensi.

Marygrace mengakui namanya masih belum dikenali ramai.
"Saya perasan masih ramai yang belum mengenali saya, tapi tak mengapalah saya masih boleh menunggu masa sesuai untuk melihat perkembangan dalam kerjaya nyanyian.
"Saya menjadikan Aisha Retno sebagai inspirasi kerana sebelum ini dia juga tidak berapa dikenali ramai. Namun makin banyak dia buat lagu selain kerap aktif dalam dunia seni hingga dia berjaya dikenali ramai.
"Jadi saya mahu ikut jejak langkah Aisha. Saya percaya segala hasil usaha ini akan berhasil nanti," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Marygrace buka bengkel cat kereta di Sabah, tidak lupa hasrat bawa keluarga tunai umrah
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Marygrace juara OIAM, bawa pulang hadiah wang tunai setengah juta
Dalam pada itu, Marygrace mengakui syarikat pengurusan sudah berusaha membantu menaikkan namanya, namun dia menerima dengan terbuka jika belum tiba masanya untuk benar-benar menyerlah.
"Saya rasa syarikat pengurusan sudah berusaha untuk menaikkan nama saya dalam industri. Saya aktif menyanyi tetapi mungkin belum masa untuk saya lagi (menyerlah).
"Kebanyakan peserta program realiti selepas menang mereka masih aktif tapi mungkin kurang pendedahan. Saya akan cuba cari strategi untuk lebih dikenali selepas ini," ujarnya.
Saya menjadikan Aisha Retno sebagai inspirasi kerana sebelum ini dia juga tidak berapa dikenali ramai.
MARYGRACE
PENYANYI
Mengulas lanjut mengenai perkembangan kerjaya selepas tamat OIAM, Marygrace berkongsi dia banyak menerima tawaran persembahan di Sabah.
Walaupun berhasrat untuk mengembangkan kerjaya di Semenanjung, dia tidak mahu melupakan peminat yang sentiasa menyokongnya di sana.
"Selepas tamat program saya banyak dapat tawaran menyanyi di Sabah. Saya mahu fokus kerjaya di Semenanjung tetapi dalam masa sama saya tidak mahu melupakan penyokong-penyokong yang berada di Sabah.
"Ramai yang beri nasihat termasuk sifu saya iaitu penyanyi Adira Suhaimi yang menasihatkan untuk cari peluang kembangkan kerjaya di Kuala Lumpur.
"Tapi buat masa ini atas permintaan ramai, saya sedang merancang untuk melakukan showcase di Sabah," jelasnya.

Marygrace banyak menerima tawaran nyanyian di Sabah.
Bagi perancangan jangka panjang, Marygrace menyasarkan tahun 2026 sebagai fasa penting untuk memperkenalkan karya yang mampu mengukuhkan namanya dalam industri.
"Kalau boleh untuk 2026 ini saya mahu cari lagu hit untuk orang lebih mengenali saya.
"Saya kini sedang mencari komposer yang sesuai dan saya juga berminat untuk bekerjasama dengan individu yang sudah beberapa kali menang di Anugerah Juara Lagu" katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


