BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menerima pujian ramai selepas tular video beliau meluangkan masa melawat salah seorang ahli kelab peminatnya yang dikenali sebagai Mohd Fadzil, yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menerusi perkongsian video di TikTok milik Sitizoners, kehadiran Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dilihat sebagai satu bukti keperibadian yang sentiasa merendah diri dan menghargai sokongan peminat sejak awal pembabitannya dalam industri seni.
Rata-rata netizen meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan penyanyi berkenaan yang sanggup hadir memberi sokongan moral ketika peminatnya berdepan ujian.

Siti sanggup meluangkan masa untuk melawat peminat yang sedang sakit.
“Santun Tok Ti (panggilan Siti) inilah yang membuatkan dia masih berada di atas hingga saat ini. Artis-artis seangkatan dengan Tok Ti semuanya mempunyai kesantunan yang tinggi walaupun mereka sudah terkenal.
“Terharu apabila artis yang kita minat datang ketika kita ditimpa kesusahan. Betul-betul rasa dihargai. Semoga dengan kehadiran Tok Ti, Fadzil boleh kembali sihat.
“Dah tahu kenapa dia (Siti) penyanyi nombor satu Malaysia,” tulis netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih Siti Nurhaliza” - Yayasan Nurjiwa bantu mangsa banjir Aceh, bukti kasih sayang rakyat Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Siti Nurhaliza terima anugerah khas ‘Lifetime Achievement Award’… “Wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur”
Dalam pada itu, satu perkongsian daripada wakil kelab peminat Sitizoners turut menyentuh hati ramai apabila menceritakan momen Siti memberikan kata-kata semangat kepada Fadzil.
“Fadzil, Kak Iti (panggilan Siti) datang ni. Fadzil kuatkan semangat. Kami tahu Fadzil mesti dengar pesanan Kak Iti sebab kami perasan paras oksigen tiba-tiba naik ketika Kak Iti sedang berbisik kepada Fadzil.
“Kuat ya, kami tunggu,” tulisnya.

Sikap keprihatinan Siti menerima pujian ramai.
Perkongsian tersebut turut memaparkan kerisauan yang jelas terpancar di wajah Siti sepanjang lawatan berkenaan.
“Kerisauan Siti jelas terpancar daripada riak wajahnya. Sama-sama kita doakan sahabat Sitizoners kami yang sedang berada di ICU sekarang.
“Doa-doa kita amat berharga buat Fadzil,” kongsinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


