suria

[V] Siti Nurhaliza terima anugerah khas ‘Lifetime Achievement Award’… “Wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur”

BIDUANITA Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima anugerah khas Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top50 Women of Excellence Awards 2025 di Kuala Lumpur pada malam Rabu. 

Anugerah berkenaan seiring dengan kejayaan figura itu yang sudah membina nama dalam industri seni tanah air selama hampir tiga dekad serta berjaya memberikan inspirasi kepada generasi masa depan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih atas anugerah ini. Saya harap pencapaian  ini akan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur, tetapi juga berada di barisan hadapan. 

Siti harap pencapaian beri inspirasi kepada ramai wanita.

"Apabila ada penganjur yang menghargai wanita hebat dalam negara ini, ia secara tidak langsung membuatkan semua wanita mampu berdiri sama tinggi serta membantu menjana ekonomi negara.

"Setiap wanita termasuk suri rumah perlu kita hargai sebab pengorbanan mereka sangat besar. Walaupun kita tahu mereka duduk rumah, tapi tanggungjawab yang mereka jalankan cukup luar biasa,"katanya. 

Menurut Siti, pengiktirafan yang diraih turut disifatkan sebagai satu tanggungjawab untuk terus berbakti kepada negara. 

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza puji komposer baharu, terbuka terima pandangan ketika rakaman

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kekal penyanyi nombor 1 Malaysia, diangkat Legenda Muzik Asia Tenggara

"Saya menerima anugerah ini bukan kerana saya dikenali semata-mata, tetapi saya harap ia dinilai berdasarkan apa yang telah saya berikan dalam bidang muzik,"katanya. 

AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards menjadi antara platform nasional paling berpengaruh yang menghargai wanita berprestasi tinggi yang menyumbang kepada kemajuan negara dan reputasi Malaysia di persada global.

Sementara itu, pasangan beregu badminton wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah yang melakar  kejayaan di pentas antarabangsa, menerima Rising Star Award yang merupakan kategori baharu di perkenalkan pada tahun ini.

AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards turut mengiktiraf wanita cemerlang daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.

Siti anggap pengiktirafan yang diraih turut disifatkan sebagai satu tanggungjawab.

Antaranya ialah pemenang Oscar dan aktivis global Tan Sri Michelle Yeoh, tokoh kemanusiaan dan akademia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Ketua Hakim Syarie wanita pertama negara Nenney Shuhaidah Shamsuddin.

Tidak terkecuali ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid dan Bella Astillah turut diumumkan sebagai penerima anugerah. 

Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu usaha untuk mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara.

“Anugerah ini selaras dengan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030, menyokong komitmen Malaysia untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, perkasa dan progresif,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia