suria

Siti Nurhaliza puji komposer baharu, terbuka terima pandangan ketika rakaman

Siti bangga melihat hasil kerja komposer muda.

TAMPIL dengan sebuah album tradisional terbaharu berjudul Gema Bumantara, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza turut terbuka untuk bekerjasama dengan komposer-komposer muda dalam penghasilan 10 karya pilihannya.

Bagi Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, beliau tidak pernah melihat pengalaman atau usia bakat muda yang masih baharu sebagai penghalang untuk menghasilkan lagu-lagu terbaik.

Malah, menerusi album ini juga, ia sebagai peluang untuk mereka terus menyerlahkan kreativiti dalam menghasilkan lagu-lagu tradisional.

Siti terbuka menerima arahan komposer baharu ketika sesi rakaman. 

“Kita kena beri peluang kepada setiap orang, sama ada yang legenda atau yang baharu. Jika tidak diberi peluang, bagaimana kita nak dapatkan pelapis yang bagus? Melihat kepada ilmu dan kebolehan, kita patut hargai mereka.

“Kalau tidak terbuka untuk menerima, nak harapkan siapa lagi? Saya pun terkejut dengan hasil mereka yang bagus,” katanya kepada mStar.

Siti ditemui ketika majlis pelancaran album berkenaan yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza tidak pilih kasih, teliti 50 karya untuk album tradisional 

ARTIKEL BERKAITAN: Kumbang Bunga trending di YouTube tiga negara, impian Siti Nurhaliza duet dengan Lesti tercapai

Tambah Biduanita Negara ini, statusnya sebagai penyanyi berpengalaman juga tidak menjadikan dirinya sukar untuk berkolaborasi ketika merakamkan lagu-lagu berkenaan.

“Tidak dinafikan ada yang gementar nak bekerja dengan saya. Tetapi saya puji kerana mereka ada prinsip dan tidak hanya suruh saya buat sesuka hati. Setiap komposer ada melodi mereka sendiri dan saya tidak boleh ubah lenggok itu. Saya juga banyak belajar daripada anak-anak muda ini.

“Ada juga terdetik untuk ikut cara sendiri, tetapi saya ingatkan dalam hati bahawa ini lagu mereka. Ada melodi yang mereka hasilkan dan saya tak boleh ubah. Bekerja dengan mereka satu pengalaman menarik,” ujarnya.

Saya pun terkejut dengan hasil mereka yang bagus

DATUK SERI SITI NURHALIZA 

PENYANYI 

Antara komposer yang terlibat dalam penghasilan album ini ialah Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Aisha Retno, Affan Mazlan dan Aiman Sidek.

Siti juga bekerjasama dengan komposer berpengalaman seperti Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Usop Kopratasa dan Melly Goeslaw.

Bercakap lanjut, Siti turut meluahkan rasa teruja selain mengharapkan setiap lagu dalam album ini dapat diterima baik dalam kalangan peminat.

Siti tampil dengan sepuluh lagu baharu dalam album Gema Bumantara. 

“Ketika merakamkan album ini saya amat teruja sebab setiap kali dapat lagu, saya tahu bagaimana hasilnya. Saya juga telah menetapkan syarat supaya setiap komposer menghantar rakaman penuh agar saya mendapat bayangan tentang karya tersebut.

“Saya harap lagu-lagu dalam album ini boleh pergi jauh,” luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain